Mohamed Khaled Nordin Mohamed Khaled Nordin
 
 
JOHOR BAHRU - Umno Johor bersedia menjadi pencetus kebangkitan Umno bagi mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap parti sekali gus memenangi pilihan raya umum akan datang, kata Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, parti sudah memulakan gerak kerja dan merencanakan pelbagai usaha bagi menjayakan hasrat itu.

"Hasil resolusi daripada Konvensyen Umno Johor menjadi sebahagian daripada proses menjayakan gelombang kebangkitan itu dan ia tidak berhenti setakat itu kerana kita mempunyai perancangan untuk memastikan asas perjuangan parti diterima rakyat," katanya.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Konvensyen Umno Johor bertemakan 'Di Sini Lahirnya Umno', di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi menjayakan hasrat itu, 26 bahagian Umno negeri perlu memainkan peranan dengan memberi perhatian perkara berkaitan kebangkitan Umno manakala setiap anggota parti perlu mengukuhkan perpaduan bagi menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang.-Bernama