DATUK MOHD AMAR ABDULLAH DATUK MOHD AMAR ABDULLAH
 
 
SHAH ALAM - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mendakwa laporan berita sebuah portal melibatkan isu gilotin yang disiarkan hari ini kurang tepat.

Melahirkan kekesalan atas perkara itu, Mohd Amar selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud Kelantan melalui Setiausaha Sulit Kanannya, Mohd Khairil Hazmie Yusof menjelaskan, kaedah penggunaan gilotin itu telah dicadangkan wartawan yang menghubunginya itu.

"Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud Negeri Kelantan melahirkan rasa kesal dengan laporan tidak tepat dan menimbulkan salah faham masyarakat berhubung kaedah penggunaan 'gilotin' berkenaan.

"Sehubungan dengan itu, suka dimaklumkan bahawa apa yang berlaku dalam perbualan telefon tersebut adalah wartawan berkenaan yang telah mencadangkan kaedah 'gilotin' berkenaan berdasarkan 'pandangan awam'," kata Mohd Khairil dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Mohd Amar telah memaklumkan bahawa cadangan berkenaan boleh dipertimbangkan dan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Hudud selepas kajian dilakukan.

"Justeru, mengaitkan beliau dengan cadangan berkenaan adalah kesilapan wartawan berkenaan yang seterusnya akan menjejaskan kefahaman masyarakat dan menimbulkan kegusaran.

"Seterusnya merosakkan imej kerajaan negeri yang dalam rangka mendidik orang awam bagi memahami dan menerima hukum hudud," katanya.

Sebelum ini, Mohd Amar dilaporkan berkata, pihaknya  menghadapi kesukaran untuk mencari kaedah paling sesuai untuk memotong anggota badan seseorang yang disabitkan kesalahan mencuri dan gilotin mini menjadi pilihan.

Gilotin adalah peralatan yang digunakan untuk memotong kepala Raja Perancis Louis XVI dan permaisurinya Marie Antoinette ketika zaman Revolusi Perancis 1793.