Dr Noor Azlan Ghazali Dr Noor Azlan Ghazali
 
 
SHAH ALAM - Tidak perlu kawalan harga dalam menangani isu harga rumah yang melambung, kata Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Menurutnya, secara kasar kawalan harga dilihat sebagai satu kaedah bagus untuk menangani isu kenaikan harga rumah tetapi realitinya tidak.

"Untuk tempoh jangka masa panjang, kaedah itu (kawalan harga) sebenarnya lebih merugikan dan membebankan terutamanya kepada kerajaan.

"Saya tidak setuju dengan cara tersebut kerana terdapat banyak kaedah lain yang boleh digunapakai," katanya, kelmarin.

Beliau berkata, umpamanya aspek perancangan bandar serta sistem pengangkutan awam yang baik perlu dititikberatkan.

Menurutnya, kenaikan harga rumah berlaku disebabkan dua faktor iaitu permintaan tinggi dan kos tanah yang tinggi.

 Katanya, di Malaysia kebanyakan rakyat mahu tinggal di bandar dan apabila disebut bandar, semua tertumpu di Kuala Lumpur yang dilihat menyediakan pekerjaan.

"Sedangkan banyak lagi kawasan luar seperti Kajang dan Selayang yang boleh dibangunkan sebagai pusat pekerjaan.

"Jika di Jepun dan New York contohnya, kebanyakan rakyat tinggal jauh dari bandar yang perjalanannya mengambil masa satu jam. Tetapi mereka mempunyai sistem pengangkutan awam yang hebat, ia sekali gus meredakan isu kenaikan harga rumah serta pemusatan," katanya. 

Selain itu, kerajaan perlu menangani isu spekulator yang membeli rumah untuk dijadikan aset pelaburan.

"Kita boleh fokus cara atau bagaimana untuk mewujudkan suasana agar mereka kurang berminat untuk membeli rumah, contohnya kerajaan perkenalkan rumah dijual balik dalam tempoh beberapa tahun dengan cukai tinggi," katanya.

Mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda bahawa kakitangan kerajaan berisiko menjadi gelandangan jika kerajaan tidak bertanggungjawab ke atas kawalan harga rumah adalah sebagai isu yang berbeza.

"Ramai keliru maksud gelandangan kerana ia isu sosial dan tingkah laku.

"Di luar negara, kerajaan menyediakan rumah perlindungan kepada golongan gelandangan tetapi mereka memilih tinggal di jalanan kerana itu cara mereka meneruskan kehidupan," katanya.