Isnin, 3 November 2014

Suspek serangan seksual setuju dihantar semula ke New Zealand

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata suspek serangan seksual, Muhammad Rizalman Ismail bersetuju menawarkan diri sendiri untuk dibawa pulang ke New Zealand bagi menghadapi perbicaraan kesnya.
 
Hamzah berkata, persetujuan itu dibuat ketika proses permohonan ektradisi di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada 16 Oktober lalu.
 
"Lanjutan permohonan ekstradasi, satu prosiding diadakan terhadap Rizalman di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur.
 
"Dalam prosiding tersebut diplomat itu tidak membantah dan menyatakan kesediaan beliau kembali ke New Zealand untuk dibicarakan," katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kedah (PKR)  Azman Ismail mengenai pegawai diplomat yang dituduh melakukan serangan seksual ke atas wanita New Zealand, Tania Rose Billingsley.
 
Hamzah berkata, penghantaran pulang Rizalman yang akan dibicarakan pada 21 November ini jelas membuktikan hubungan dua hala dan kerjasama erat antara Malaysia dan New Zealand.
 
"Kedua-dua negara berpegang pada prinsip dan proses perundangan jelas dan kukuh.
 
"Malaysia juga yakin Rizalman akan mendapat perbicaraan yang adil dan saksama di New Zealand," katanya.
 
Beliau berkata, kerajaan Malaysia sentiasa mengambil pendekatan berbincang dengan negara terlibat jika wujud kes membabitkan diplomat seperti yang berlaku di New Zealand.
 
"Biasanya kita akan ambil kira ada kesalahan atau tidak kerana ia membabitkan perbincangan dua negara.
 
"Kalau mahu keadilan, pertama sekali mesti dilakukan ialah perbincangan kedua-dua negara. Itu yang kita buat dan kita bersetuju Rizalman dibawa pulang ke Malaysia dulu.
 
"Bagaimanapun timbul permintaan New Zealand untuk dihantar pulang bagi dibicarakan, kita bersama pegawai itu meminta beliau sendiri bersetuju menghadapi perbicaraan," katanya.
 
Katanya, kerajaan mematuhi segala peraturan dan undang-undang dalam menangani kes Rizalman berpandukan Konvesyen Vienna dalam Hubungan Diplomatik (1961).

Tiada ulasan: