Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno bersempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno bersempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Puteri Umno hari ini menyelar tindakan segelintir pemimpin politik beragama Islam yang tidak mahu melindungi kesucian agama Islam hanya kerana lebih mengutamakan agenda politik dan peribadi.
  
Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berpendapat, pemimpin berkenaan bimbang akan hilang sokongan jika terlalu lantang mempertahankan Islam walaupun mereka tahu puak ekstremis agama kini sering mencetuskan ketegangan.
  
"Liberalisasi agama yang menghalalkan budaya seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender secara terang-terangan melanggar akidah umat Islam dan golongan pluralisme agama, yang berpendapat semua agama termasuk Islam adalah sama, semakin berkembang.
  
"Adakah kita hanya mampu melihat semua ini dan membiarkan fahaman berbahaya ini menghancurkan umat Islam?," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung Puteri Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Mas Ermieyati berkata, Puteri Umno menyokong apa jua keputusan kerajaan dan tindakan yang diambil institusi Islam demi memelihara martabat dan kesucian agama Islam.
  
"Kami hargai ketegasan kerajaan yang memutuskan untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang menghalang lelaki Islam berpakaian dan berkelakukan seperti wanita bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
  
"Ia dilakukan bagi menjaga kepentingan agama Islam, dan keputusan itu akan memberi kesan kepada peruntukan undang-undang sama di negeri-negeri lain," kata Mas Ermieyati.
  
Beliau turut berpendapat 'pendekatan muda' menerusi seni muzik dalam berdakwah kepada golongan muda memberi kesan lebih positif dan berupaya menarik minat orang muda mendalami Islam. – Bernama