Rabu, 26 November 2014

Pertahan Akta Hasutan, ucapan dasar Khairy sebenarnya ‘membelakangi masa’

KEADILAN DAILY


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, di dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno menyuarakan partinya sudah ‘membelakangi masa’ dengan mengenepikan pimpinan muda berbanding Pakatan Rakyat.

Pun begitu, nampaknya, Khairy sendiri membelakangi masa apabila beliau terus mempertahankan Akta Hasutan dan cuba membangkitkan sentimen perkauman menerusi soal kedudukan istimewa Bumiputera.

PEMUDA UMNOKhairy berkata undang-undang kolonial Akta Hasutan adalah perlu untuk mengelakkan negara hancur apabila isu-isu sensitif dimainkan. Namun selama ini kita lihat pimpinan Umno sendiri dan kumpulan-kumpulan ekstrem yang didokong Umno memainkan isu-isu sensitif, tiada kekecohan berlaku meskipun hampir keseluruhannya tidak didakwa bawah Akta Hasutan.

Sebaliknya, pemimpin Pakatan, aktivis masyarakat, mahasiswa, ahli akademik dan agamawan menjadi mangsa. Malang sekali Khairy sendiri mendapat pendidikan terbaik di Universiti Oxford, tetapi nampaknya tidak dapat menerima keterbukaan di kalangan ahli akademik di Malaysia.

Sudah wujud peruntukan di bawah Kanun Keseksaan bagi memastikan sebarang pengucapan yang boleh mendatangkan kacau-bilau diambil tindakan. Ini sepatutnya alternatif kepada undang-undang lapuk seperti Akta Hasutan.

Khairy juga mencabar golongan bukan Melayu agar tidak mencabar Kedudukan Istimewa Bumiputera. Beliau berkata perkara-perkara dalam Perlembagaan seperti hak pendidikan vernakular tidak dipersoalkan oleh masyarakat Melayu. Namun pemimpin-pemimpin Umno sendiri sebelum ini ada mempersoalkannya.

Hakikatnya, majoriti besar rakyat Malaysia tanpa mengira kaum tidak mempersoalkan muafakat Perlembagaan. Yang dipersoalkan adalah rasuah yang berleluasa dan kesenjangan ekonomi yang semakin melebar, yang membebankan semua rakyat Malaysia termasuk golongan Bumiputera.

Statistik menakutkan ini didedahkan oleh laporan Institut Penyelidikan Khazanah baru-baru ini.

Hakikatnya, UMNO lah yang menerajui kerajaan selama ini. Tidak wajar untuk Khairy menuding jari pada kaum-kaum lain, sebaliknya beliau perlu melihat dimanakah kegagalan dasar-dasar kerajaan selama 57 tahun mereka mentadbir negara.

Soalnya, adakah ini wajah sebenar Khairy? Jika di khalayak umum, beliau menampilkan imej liberal tetapi di dalam perhimpunan Umno beliau mengikut rentak perkauman.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Ketua Angkatan Muda KEADILAN

Tiada ulasan: