Rabu, 26 November 2014

PAS Terengganu bersedia kemungkinan banjir kedua

HARAKAHDAILY



Dr Azman (kiri) bersama MP Kuala Nerus melawat mangsa banjir daerah itu, minggu lalu.
 


KUALA LUMPUR: Menghadapi musim banjir 2014 adalah pertama kalinya Badan Perhubungan PAS Terengganu melalui Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan menyusun jentera operasi berdasarkan SOP Jabatan Pengurusan Kecemasan dan Bencana PAS Pusat.

Menurut Pengarah Operasi Banjir PAS negeri, Dr Azman Ibrahim, standard operasi yang diseragamkan struktur dan fungsinya dengan gabungan armada pelbagai kepakaran bermula dari Bilik Gerakan Banjir Negeri kepada Bilik Gerakan Banjir bagi setiap kawasan parlimen seterusnya di peringkat Dewan Undangan Negeri dan akhirnya kepada Pusat Operasi di lokasi-lokasi terjejas banjir.

Katanya, armada yang terdiri dari Unit Amal, Ameerah, Rakan Khidmat, Yayasan Amal Malaysia, Radio Amatur, Papisma dan Kelab 4x4 Terengganu Adventure Group (TAG) disatukan kekuatan di bawah satu penyelarasan supaya tugasan membantu, menyelamat dan mengurus mangsa-mangsa banjir menjadi lebih sistematik, cepat, tepat dan berkesan supaya setiap sumber samada kewangan, tenaga dan aset dapat dimanfaatkan pada kadar yang paling optimum.

"Pelan bertindak meliputi langkah demi langkah bermula dari tugasan sebelum banjir, semasa banjir seterusnya kerja-kerja pasca banjir merangkumi gerak kerja pembersihan dan pembaikian," jelasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, menghadapi banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu, kelihatan beberapa kawasan parlimen mampu mengadaptasi dan mengoperasikan bilik gerakan masing-masing dengan baik walau tak dinafikan bahawa setiap sistem yang baru dilaksanakan memerlukan sedikit tempoh untuk dihadamkan dengan sebaiknya.

Sebagaimana biasa, katanya jentera Unit Amal adalah antara yang paling menonjol dan dihormati di lapangan.

"Kami juga mendapat kerjasama yang sangat baik dari agensi-agensi kerajaan seperti ATM dan JPAM.

"Bagi pihak Bilik Gerakan Banjir PAS Negeri Terengganu, saya merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dari perlbagai pihak di semua peringkat yang telah bersama menyumbang samada masa, tenaga, wang ringgit, buah fikiran dan sebagainya demi menjayakan operasi ini," ujarnya.

Beliau berkata, merujuk kepada musibah banjir yang melanda Terengganu khususnya Daerah Kuala Nerus terutamanya di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Tepuh, Seberang Takir dan sedikit dari Teluk Pasu, maklumat dari lapangan jelas menunjukkan bahawa air yang melimpah sehingga menenggelamkan beberapa kawasan penempatan penduduk seperti Taman Baruh, Taman Darul Iman, Taman Air Mata, Taman Solehah Kampung Padang Air, Kampung Pak Tuyu, Kampung Wakaf Tengah, Kampung Padang Hangus, Perumahan Gong Badak 4 dan Kampung Gong Datuk adalah berpunca dari sebab berikut:

Yang pertama, ujarnya ketiadaan sistem saliran yang sempurna sehingga kepesatan pembangunan seperti penambakan tanah dan pembinaan bangunan-bangunan telah mewujudkan halangan-halangan kepada aliran ke sungai dan seterusnya ke laut.

Tambahnya, jelas kelihatan daerah Kuala Nerus amat memerlukan kepada monsun drain yang berperanan mengalirkan air ke laut ketika musim tengkujuh melanda.

Menurutnya lagi, tinjauan lapangan juga mendapati ada longkang besar di sekitar Tok Jembal yang dipenuhi air ketika banir tetapi air dalam keadaan tenang atau tidak mengalir.

Beliau menjelaskan, indikasi yang jelas bahawa longkang tersebut tidak dibina dengan level atau paras  yang betul sehingga menjadikan ia tidak berfungsi ketika saat yang betul.

Yang kedua, kata beliau keghairahan dengan projek pembangunan sehingga mengorbankan kawasan tadahan air di Baruh Tok Jiring dan Baruh Padang Kemunting juga antara sebab utama berlakunya banjir.

Beliau berkata, apabila kawasan baruh atau paya yang berperanan sebagai takungan air semulajadi ditimbus dengan tanah demi pembangunan dan keuntungan sesetengah pihak yang berkepentingan, maka ke mana lagi  air hujan nak mengalir.

"Di mana peranan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran dalam hal ini?

"Atau mereka telah memberikan nasihat yang betul. Tetapi ada tangan ghaib yang lebih hebat dari mereka untuk meluluskan projek," ujar beliau yang juga Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS negeri.

Tambahnya lagi, terdapat juga di kawasan Tepuh beberapa taman perumahan ala-ala Belanda yang berada di bawah paras air seperti perumahan Pusu Tiga dan Taman Baruh.

Menurut beliau, dengan penambakan tanah yang tidak mencukupi tahap ketinggiannya, walaupun begitu projek pembinaan rumah tetap juga diteruskan lantas mendedahkan penghuninya kepada ancaman limpahan air banjir.

"Sekali lagi persoalan, siapa yang meluluskannya," katanya.

Kata Dr Azman, maklumat di lapangan juga menyebut bahawa terdapat 8 mengabang (out flow) yang berperanan mengalirkan air keluar ke sungai dari kawasan Baruh Tok Jiring dan Baruh Padang Kemunting telah tidak diselenggara sehingga menyebabkan tersumbat dan gagal berfungsi pada saat ianya sangat kritikal diperlukan.

"Pelan seterusnya bagi Bilik Gerakan Banjir PAS Terengganu adalah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir gelombang kedua yang bakal melanda," ujarnya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: