Ahad, 2 November 2014

Pahang cuti peristiwa esok hargai juara Piala Malaysia

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Pahang mengumumkan cuti peristiwa Isnin, 3 November sebagai menghargai pasukan bola sepak negeri itu muncul juara Piala Malaysia 2014.

Bernama melaporkan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bagaimanapun berkata semua pegawai dan guru yang terlibat dengan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula pada hari itu hendaklah meneruskan tugas mereka seperti biasa.

"Semua pelajar yang terlibat dengan SPM juga mesti menduduki peperiksaan terbabit," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menurutnya, pengumuman itu mengambil kira bahawa permainan bola sepak adalah permainan rakyat dan menjadi juara bukan perkara yang boleh diraih setiap tahun.

Pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, pasukan Tok Gajah itu mengalahkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 5-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2 selepas masa tambahan 30 minit.

Walaupun pasukan bimbingan jurulatih, Zainal Abidin Hassan itu bertarung dengan 10 pemain apabila pemain pertahanan Saiful Nizam Miswan menerima kad merah pada minit ke-68, tidak menghalang untuk muncul juara dua tahun berturut-turut.

Pada kedudukan 4-3, Mohd. Hafiz Kamal berjaya menyempurnakan sepakan penalti terakhir pasukan itu yang sebelum itu sepakan pemain JDT, Norshahrul Idlan Talaha berjaya diselamatkan penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid.

Kemenangan Piala Malaysia itu juga merupakan kejayaan berganda pasukan Pahang yang memulakan saingan Liga Malaysia musim ini dengan menewaskan Lions XII 1-0 pada perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah, diikuti menjulang Piala FA buat kali kedua selepas 2006 setelah mengalahkan Felda United FC 2-1.

Tiada ulasan: