Ahad, 2 November 2014

Noh datang satu jam lambat, tapi nak jadi hero - Azmin

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali membidas Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Noh Omar yang dilihat cuba menjadi hero di hadapan mangsa ribut di Pandamaran, Pelabuhan Klang.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang supaya tidak memutarbelitkan fakta yang mendakwa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak turun membantu mangsa ribut, lapor Selangor Kini.

Azmin menyanggah dakwaan berkenaan dengan menyatakan beliau sendiri melihat PKNS turun awal bagi membantu membaiki bumbung pada hari kejadian.

“Ini adalah kali kedua, saya dapat maklumat dua hari lalu ada seorang pemimpin Umno turun ke sini, Noh Omar, datang pun satu jam lambat, tapi nak jadi hero konon nak bela masyarakat.

“Saya nak beritahu sementara politik dalam demokrasi ini dibenarkan, tetapi jangan putar belit dan jangan bawa fitnah serta pembohongan untuk propaganda mereka di kawasan ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bencana Ribut di Pandamaran Jaya, Klang.

Beliau berkata apabila berlakunya kejadian ribut itu antara agensi turun dan terus membantu rakyat dalam kejadian itu adalah Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Saya lihat sendiri pihak PKNS turun untuk segera membaiki bumbung hilang pada hari kejadian,” katanya yang juga Adun Bukit Antarabangsa.

Tiada ulasan: