Rabu, 26 November 2014

Menteri, henti dolak dalik isu pekerja industri elektrik negara

Oleh Azuan Abd Rahman


KUALA LUMPUR : Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Hanim Samuri dan Timbalan Menteri Sumber

Manusia, Datuk Ismail Mutalib terus berdolak dalik dan saling tuding menuding berhubung isu tekanan yang dihadapi pekerja sektor elektrik negara.

Kesal dengan sikap tersebut, Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, kedua-dua Timbalan Menteri itu hanya ‘flip flop’ tanpa memberikan sebarang kata putus kepada isu yang disifatkannya sangat penting itu.

Ia berhubung satu kajian Verite yang melaporkan bahawa 28 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia adalah buruh paksa.

“Minggu lalu saya bangkitkan isu tersebut kepada Timbalan Menteri Miti tetapi diberitahu ia adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia.

“Semalam saya bangkitkan isu tersebut kepada Timbalan Menteri Sumber Manusia tetapi beliau tolak semula isu tersebut kepada Miti,” jelas Sim pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sim berkata, keadaan itu bakal meletakkan Malaysia dalam senarai negara yang diperhatikan kerana tidak mengutamakan kepentingan pekerja.

Katanya, kerajaan perlu mengemukakan laporan balas terhadap dakwaan tersebut kerana ia boleh mengancam industri elektrik dan elektronik negara.

“Setelah didesak, Timbalan Menteri Sumber Manusia akhirnya beritahu Parlimen bahawa laporan balas akan disediakan Miti namun

diberitahu sekali lagi ia akan dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Miti.

“Jawapan itu menunjukkan tiada persefahaman antara kementerian tersebut untuk selesaikan masalah serius ini.

“Sekali lagi saya tanya apakah laporan balas telah dibuat, beliau memberitahu ‘belum’.

“Jelas kerajaan gagal sediakan laporan balas terhadap dakwaan laporan Verite,” kata Sim.

Tiada ulasan: