Abdul Malik Ab Razak
 
 
KUALA LUMPUR - Tindakan berani Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) untuk 'bersemuka' dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bagi menyerahkan memorandum pencerobohan tanah warisan Melayu terbantut apabila mereka mendakwa disekat sekumpulan pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Rombongan mereka yang bermula daripada Masjid Pekeliling  terhenti apabila rombongan mereka 'disambut' oleh kumpulan itu di pintu belakang PWTC.

Ekoran itu berlaku suasana tegang antara kedua-dua kumpulan, bagaimanapun polis berjaya mengawal keadaan.

Ketika itu, Abdul Malik Ab Razak yang juga merupakan Presiden Gamis, enggan menyerahkan memorandum kepada ketua kumpulan itu kerana mahu menyerah sendiri kepada Perdana Menteri.

Namun tindakannya menimbulkan perasaan kurang senang kepada ketua pemuda yang mendakwa dia mewakili Perdana Menteri.

"Saya bersumpah akan serah kepada Perdana Menteri memorandum ini," kata ketua kumpulan itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan  Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Khairul Najib Hashim yang turut menyertai Gamis berkata, pihaknya akan menunggu sampai Perdana Menteri memberi respons dalam Perhimpunan Agung Umno mengenai isu ini.

"Jika beliau tidak respons... kami akan hadir sekali lagi bagi memastikan suara dan memorandum kami sampai ke tangan beliau," katanya menerusi SMS kepada Sinar Online.

Antara kandungan tuntutan yang dinyatakan dalam memorandum itu adalah mereka mendesak supaya kerajaan menghentikan pencerobohan tanah rizab Melayu dan kampung warisan.

Tuntutan lain adalah mengembalikan 50 peratus tanah rizab Melayu seperti wasiat Raja-raja, menggesa penubuhan Lembaga Amanah Tanah Rizab Melayu dan mewujudkan polisi khas atau undang-undang bagi melindungi perkampungan tradisi dan juga menjaga kebajikan peneroka bandar.