Rabu, 19 November 2014

KJ: Ramai menteri hantar anak ke SK

MALAYSIAKINI


 


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, menangkis dakwaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ramai menteri kabinet menghantar anak mereka ke sekolah persendirian atau sekolah antarabangsa.

Khairy berkata, ramai di kalangan  menteri menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan termasuk Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, katanya, beliau sendiri turut menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan dan bukan sekolah persendirian atau sekolah antarabangsa.

"Saya hantar anak lelaki saya ke sekolah kebangsaan. Saya rasa kebanyakan menteri yang saya kenal, rakan-rakan saya di kabinet menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.

"Ada persepsi mengatakan menteri hantar anak ke sekolah swasta, antarabangsa. Tetapi kebanyakan menteri saya kenal hantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Malah, menteri pendidikan pun hantar anaknya ke sekolah kebangsaan.

"Saya tak tahu mana persepsi ini datang,"  katanya pada sidang media di Menara KBS di Putrajaya hari ini.

Beliau ditanya mengenai satu tulisan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membangkitkan mengenai tindakan menteri kabinet yang menghantar anak masing-masing ke sekolah persendirian dan sekolah antarabangsa.

Dalam tulisan di blognya itu, Mahathir menyebut bahawa sekolah antarabangsa aliran bahasan Inggeris itu semakin berkembang kerajaan memansuhkan sekolah menengah aliran bahasa Inggeris pada 1971.

Tiada ulasan: