Selasa, 11 November 2014

Kecualikan ubat dari GST, kata farmaseutikal

MALAYSIAKINI


 


Persatuan Farmaseutikal Malaysia (MPS) merayu kepada kerajaan supaya kesemua ubat-ubatan tidak dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Presiden MPS Nancy Ho berkata, kerajaan tidak patut mengenakan cukai terhadap seseorang kerana “sakit dan perlu mengambil ubat”.

MPS juga sedang mengutip tandatangan untuk petisyen rayuan supaya kesemua ubat dikecualikan daripada cukai kontroversi itu.

Ho berkata terdapat penyakit-penyakit tertentu yang memerlukan pesakit membelanjakan ribuan ringgit setiap bulan untuk rawatan dan perubatan.

“Jika mereka terpaksa membayar GST pada kadar standard, mereka perlu membayar lebih RM600 cukai untuk setiap RM10,000 yang diperlukan untuk perubatan.

“Ia menyedihkan apabila seseorang yang jatuh sakit teruk sehingga hilang mata pencarian.

"Dan sekarang mereka dikenakan cukai dan tambahan enam peratus kerana mengambil ubat,” katanya.

Tunjukkan sokongan awam

Kempen kutipan tandangan itu itu akan dijalankan sehingga 31 Disember.

Ia kemudian akan dikumpul bersama rayuan kepada agensi kerajaan berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Ini akan menunjukkan kepada pihak berkuasa bahawa rayuan itu mendapat sokongan awam dan patut ditangani secara serius,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi e-mel medicine.gst.mps@gmail.com.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (atas) ketika membentangkan Belanjawan 2015 di parlimen mengumumkan bahawa 2,900 ubat-ubatan penting akan dikecualikan daripada GST.

Beliau tidak menyatakan secara spesifik kategorinya.

Tiada ulasan: