Sabtu, 1 November 2014

Jangan mudah percaya maklumat di FB, Whatsapp

SINAR HARIAN


Gambar Hiasan. Gambar Hiasan.
 
 
TAWAU - Pengerusi Gabungan Persatuan Komuniti Belia Esszone Sabah, Mohd Zaki Harry Susanto meminta agar masyarakat tidak mudah mempercayai maklumat yang disebar melalui media alternatif seperti Facebook atau WhatsApp.

Beliau berkata, masyarakat perlu mengetahui bahawa kesahihan sesuatu perkara yang disebarkan melalui media sosial boleh diragui ketepatannya.

"Tidak dapat dinafikan lagi, kegiatan menyebarkan atau berkongsi maklumat di kalangan pengguna Internet adalah amat berleluasa. Ia amat mudah dilakukan kerana tiadanya sistem kawalan atau tapisan yang boleh memantau penyebaran maklumat sedemikian.
"Oleh itu orang ramai perlu mengelak daripada menyebar atau berkongsi bahan yang boleh menimbulkan rasa panik kepada masyarakat khususnya jika ia menyentuh aspek keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berharap pihak berkuasa terutama yang terlibat dalam tugas risikan keselamatan negara lebih menekankan integriti dan lebih profesional ketika menjalankan tugas supaya risikan keselamatan tidak mudah bocor.  

"Kegiatan memuat naik maklumat berperingkat ke media alternatif perlu dibendung dengan segera. Ia dianggap melanggar aku janji dan sumpah menyimpan rahsia serta merupakan satu kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

"Untuk itu, kita mengharapkan pihak keselamatan lebih menumpukan soal integriti warganya dan segera mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka yang didapati dengan cuai atau dengan sengaja membocorkan maklumat berperingkat," kata Mohd Zaki. - Bernama

Tiada ulasan: