Khamis, 27 November 2014

Jangan dijadikan perhimpunan agung seperti pementasan teater percuma



Oleh Aspan Alias


Ucapan Muhyiddin dalam perasmian perhimpunan pemuda, wanita dan putri UMNO semalam telah menyentuh isu-isu penting yang agak hampir kepada masalah sebenar yang UMNO hadapi hari ini. Muhyiddin telah memaparkan isu yang benar iaitu cabaran-cabaran sebenar yang UMNO hadapi, dan ia memerlukan ‘fresh restart’ bagi parti itu untuk terus menjadi relevan untuk masa yang mendatang.

Cabaran yang dimaksudkan ialah cabaran dari kumpulan ‘liberalism’ yang kini sedang menghantui UMNO dan tekanan ini tentulah datangnya dari luar parti. Gulungan ini bercakap diatas nama ‘human rights’ dan demokrasi terbuka dan bebas. Jika dahulu isu yang dihadapi oleh UMNO ialah untuk mendapatkan imej siapa yang lebih Islam, UMNO atau PAS,  tetapi apa yang dihadapi UMNO kini bukannya lagi siapa yang lebih Islam tetapi siapa yang lebih liberal.

‘Paradigm’ yang baru yang ingin ditonjolkan oleh Melayu liberal sekarang ini  merupakan elemen yang sangat besar yang membawa kepada perpecahan UMNO dan juga PAS dan ini merupakan kemahuan dan kehendak setengah pihak untuk berlaku kerana kepentingan bangsa dan agama mereka.

Kumpulan Melayu liberal kini lebih liberal dan kesemua yang dilakukan oleh pihak nationalis dan kumpulan yang memperjuangkan untuk mengekalkan identiti Melayu itu sebagai bodoh, dan hanya mereka sahaja yang betul. Bagi gulungan ini yang menggunakan individu-individu Melayu yang kononnya professional dan liberal untuk menerjah segala apa yang dilakukan oleh UMNO dan PAS itu sebagai kuno dan tidak relevan bagi bangsa Melayu lagi.

Gulungan ini akan mengkritik apa sahaja yang dilakukan oleh pimpinan Melayu Islam dan tidak ada lagi yang betul kepada pimpinan ini. Mereka memandang rendah kepada bangsanya sendiri dan sanggup memberikan gelaran yang buruk-buruk terhadap bangsanya sendiri. Mereka sudah merasakan yang mereka sudah professional dan hebat. Mereka ini diperguna oleh pihak tertentu secara tidak sedar dan mereka ini seolah-olah ‘lebih sudu dari kuah’ semata-mata mereka mendapat pujian dari pihak yang memberikan galakan untuk merencatkan bangsanya sendiri.

Tetapi bak kata setengah pihak yang bijak pandai, ‘there must be a cause for a cause’. Semuanya ini diambil kesempatan oleh pihak yang mengaku diri mereka sebagai Melayu liberal ini adalah oleh kelemahan badan-badan politik dan pejuang Melayu itu sendiri khususnya UMNO yang memerintah sekarang ini.

Apabila UMNO menunjukan kelemahan pimpinan dengan kekurangan daya pemikiran yang membawa parti dan perjuangan sesat-barat tanpa hala tuju yang selari dengan kehendak dan perjuangan parti politik Melayu itu, UMNO menjadi ‘defensive’ dengan tekanan pihak Melayu liberal yang mahukan Melayu itu mempunyai ‘identiti baru’ itu.

UMNO seperti yang disebut oleh Timbalan Presiden malam tadi sedang menghadapi cabaran-cabaran baru iaitu untuk mempertahankan ancaman baru dari pihak yang memperjuangkan liberalism dan kebebasan demokrasi seratus peratus, bebas sebebas haiwan dihutan. Malahan haiwan dihutan itu sendiri tidak sebebas dengan apa yang dituntut oleh gulungan ini.

Kehilangan identiti merupakan permulaan kepada kehilangan satu-satu bangsa di dunia ini, kerana satu-satu bangsa itu wujud dengan identitinya sendiri. Jika hilang identiti itu maka tiada lagilah bangsa itu.

Disini lah letaknya kesalahan UMNO yang pucuk pimpinannya sudah mula mahu dan sanggup tunduk kepada pihak yang membuat tuntutan ini, sedang pihak ini tidak pun mahu memberikan ‘recognition’ tentang apa yang sudah diliberalisasikan oleh pihak yang menuntut itu. Pihak ini akan menuntut dan menuntut sehingga segala-gala yang ada kepada kita lupus segala-galanya.

Itulah sebabnya adalah mustahak dan penting seperti yang disebut oleh Muhyiddin dan ramai pemimpin Melayu yang lain yang kita perlu memulakan negara baru dan sesiapa yang membaca blog ini selalu mereka akan membaca saranan blog ini tiada hentinya untuk giat memulakan politik baru.

Kegentingan yang kita hadapi bukannya sedikit bahayanya, tetapi kita juga tahu tiada siapa di kalangan mereka yang dipertanggungjawabkan dalam Majlis Tertinggi UMNO itu tahu dan memahami apa yang sedang berlaku dan bagaimana untuk mencari penyelesaiannya.

Pandangan saya telah dikecam hebat oleh banyak pihak tetapi sekarang kita telah dibuktikan dengan keadaan itu sesungghuhnya mengancam bangsa Melayu. Jika Melayu terancam ia akan mengancam negara kerana bangsa Melayu itu merupakan bangsa yang terbesar penduduknya di negara ini.

Apa pun yang hendak dilakukan ia mesti dan perlu mendapat persetujuan orang Melayu. Jika pihak melayu liberal ini berfikir yang mereka akan berjaya untuk merosakan identiti dan perjuangan bangsanya yang asal itu, mereka sesungguhnya bermimpi di siang hari.

Untuk memulakan perjuangan ini ia wajar dipimpin dan dilakukan oleh manusia pemimpin yang berwibawa yang lain dari yang ada, kerana yang ada ini adalah penyumbang kepada keadaan haru-biru perjuangan ini. Mereka tidak dapat mengikis imej rasuah dan imej suntuk pemikiran ini kerana untuk membina kembali masyarakat yang adil ia memerlukan dasar-dasar yang digubal setelah meneliti segala aspek dengan baik.

Untuk melakukan ia memerlukan seorang pemimpin yang mampu memberikan pemikiran dan berwibawa kerana jika ia diberikan kepada sesiapa yang kurang dari ini perjuangan dan niat kita tidak akan tercapai.

Terutamanya Najib, pimpinan UMNO sekarang ini hanya petah bercakap dan melakukan ‘action’ diatas pentas dengan baik sahaja. Lakonan dan adegannya mudah difahami dan semua orang tahu jalan ceritanya dan bagaimana cerita dan filem lakonannya itu akan berakhir.

Kalau mengikut contoh yang terdahulu perhimpunan agung ini hanya satu pementasan ‘theater’ yang hebat. Selepas pementasan itu pelakon-pelakonnya termasuk pelakon utamanya, Najib akan kembali dengan kehidupan dan cara yang biasa baginya.

Jiwa dan sikapnya akan masih fakir dan akan melakukan apa yang beliau selama ini lakukan berbeza dengan peranan dan adegan lakonan beliau dipentas perhimpunan agung itu.

Kita ada Istana Budaya dijalan Tun Razak untuk menyaksikan pementasan teater seperti itu, tak perlu pentas yang lain. http://aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan: