Sabtu, 29 November 2014

Firma guaman: Pampasan kepada pegawai Khalid amalan pekerjaan biasa

MALAYSIAKINI


Sebuah firma perundangan berkata pembayaran pampasan dan ex-gratia kepada sekumpulan pembantu politik dan kakitangan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah amalan pekerjaan yang biasa.

Bon Advocates, yang bertindak bagi pihak Abdul Khalid, berkata apabila persetujuan dicapai untuk penamatan awal kontrak bersama seorang pekerja, sejumlah wang yang dipersetujui dibayar sebagai pampasan.

"Jumlah yang dibayar biasanya ialah baki terma kontrak yang belum tamat dan jumlah ex-gratia atas budi bicara bagi perkhidmatan yang diberikan.

"Dalam hal ini, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri adalah sebahagian daripada proses membuat keputusan," kata firma guaman itu dalam kenyataan semalam.

Lapan pegawai kontrak bekas Menteri Besar yang dilantik oleh Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor dilaporkan menerima pampasan berjumlah sehingga RM2.3 juta, yang disifatkan oleh beberapa pihak termasuk Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad sebagai tidak munasabah.

Pembayaran itu dibuat pada akhir tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebelum Mohamed Azmin Ali mengambil alih jawatan Menteri Besar pada 23 September.

Mohamed Azmin dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau tidak membantah jika Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) mahu menyiasat isu itu.

Beliau juga dilaporkan berkata bahawa mesyuarat majlis eksekutif negeri tidak mempunyai kuasa untuk menentukan jumlah pampasan atau gratuiti untuk pegawai MBI dan kaedah pembayaran diputuskan oleh lembaga MBI yang dipengerusikan oleh Abdul Khalid sebagai bekas menteri besar.
  
Dalam hubungan ini, Bon Advocates berkata anak guamnya menyambut baik audit negeri dan siasatan dijalankan berhubung perkara itu.

"Beliau (Abdul Khalid) akan bekerjasama untuk membantu dalam apa-apa persoalan yang mungkin timbul," kata firma guaman itu. - Bernama

Tiada ulasan: