Khamis, 27 November 2014

Dari rakyat, untuk rakyat!



Oleh Hanif Mahpa dan Azzan Aznan


Adakah kehadiran mahasiswa hari ini dirasai masyarakat awam? Adakah berdirinya bangunan agam universiti di tengah-tengah lautan masyarakat disedari dan dirasai oleh penduduk sekitar?

Mahasiswa untuk rakyat

Mahasiswa seharusnya menjadi agen penyebar ilmu dalam menjunjung perjuangan mencelikkan masyarakat sekitar, terutamanya masyarakat setempat yang berada di sekitar kampus agam.


Seharusnya masyarakat dapat merasakan tempias ilmu yang berlegar di dalam kampus. Hal ini kerana, menjadi satu kerugian amat besar sekiranya keberadaan mahasiswa dan universiti-universiti gagal membawa masyarakat setempat merasa suasana ilmu.

Mahasiswa seharusnya turun ke kampung-kampung mahupun pasar malam atau mana-mana pusat sosial sekitar kampus untuk menyampaikan ilmu dengan harapan masyarakat setempat tidak hanya bergantung pada media massa yang kini menjadi sumber rujukan utama.

Aspirasi inilah seharusnya diperjuangkan mahasiswa demi melahirkan bangsa yang celik ilmu pengetahuan.

Di samping itu, mahasiswa seharusnya cakna akan isu dan suasana masyarakat di luar kampus. Mahasiswalah yang sepatutnya merasakan perit lelah masyarakat yang bekerja membanting tulang bagi menyara kehidupan seharian mereka.

Titik peluh mereka inilah yang mengalir dalam wang-wang yang digunakan untuk biasiswa dan perbelanjaan di universiti awam.

Malangnya mahasiswa hari ini cukup angkuh berterima kasih dan leka dengan kehidupan selesa mereka.

Mereka tidak sedar mereka sebahagian rakyat yang tertindas. Mereka tidak lagi turun memperjuangkan isu kemasyarakatan seperti mana yang kita dapat lihat dalam lipatan sejarah apabila mahasiswa sendiri turun ke kampung-kampung bagi memperjuangkan hak rakyat.

Kita dapat lihat kecaknaan mahasiswa akan penderitaan masyarakat apabila ribuan mahasiswa pada 1974 menggerakkan Demonstrasi Baling demi menyuarakan kepada pemerintah agar segera menyelesaikan masalah kemiskinan yang melampau di Baling.

Mereka rela dipenjara demi memperjuang hak masyarakat Baling. Mereka percaya mereka juga mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat, bukan tanggungjawab untuk hadir ke kelas sahaja!

Perjuangan hari ini: Selamatkan Kampung Warisan!

Dasawarsa ini, kita dikejutkan dengan isu kemasyarakatan yang begitu dekat dengan kampus-kampus mahasiswa di Lembah Klang, iaitu isu pencerobohan kampung warisan, Kampung Chubadak Tambahan, Sentul. Seramai 160 buah keluarga dari kampung ini diperintahkan berpindah atas alasan bagi membangunkan kawasan tersebut.

Menjadi lebih malang bagi penduduk kampung apabila mereka tidak diberikan pampasan yang sewajarnya seperti mana yang diputuskan Mahkamah Rayuan Malaysia pada tahun 1998 di dalam kes Sentul Murni Sdn Bhd lawan Ahmad Amiruddin bin Kamarudin & lain-lain.

Mahkamah di dalam kes ini memutuskan mereka bukanlah setinggan tetapi penduduk pemegang lesen beserta ekuiti dan mereka perlu dibayar pampasan yang sewajarnya mengikut nilaian semasa jika terpaksa dipindahkan. Keputusan ini juga sekali lagi disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 13 November yang lalu.

Namun, pihak pemaju berkeras untuk mengusir penduduk kampung Chubadak tanpa memberikan bayaran pampasan yang setimpal dan masuk akal.

Kami cukup berbangga dengan rakan-rakan mahasiswa yang sanggup turun merasa kepedihan hidup penduduk Kampung Chubadak, sehinggakan Saudara Ahmad Fahmi Mokhtar dan Saudara Abdul Muqit Muhammad pun ditahan pihak polis kerana tegar mempertahankan penduduk kampung.

Terbukti, usaha mahasiswa yang turun ini menampakkan kejayaan apabila pemaju mula akur untuk memberikan bayaran pampasan yang setimpal kepada beberapa keluarga. Keputusan Mahkamah Rayuan yang menyebelahi penduduk kampung juga menunjukkan mahasiswa yang turun mempertahankan hak penduduk kampung itu mempunyai asas yang kukuh akan apa yang diperjuangkan, bukannya semata-mata perjuangan populis untuk mendapatkan nama.

Khatimah

Bersempena Perhimpunan Agung Umno yang akan datang ini, kami memuji langkah Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia menganjurkan Himpunan Mahasiswa: Selamatkan Kampung Warisan untuk menyerahkan memorandum kepada Presiden Umno.

Kami percaya perjuangan kemanusiaan dan mempertahankan hak sebegini sewajarnya dipelopori oleh gerakan mahasiswa.

Perjuangan mempertahankan hak kampung warisan masyarakat Melayu ini juga akan disertai masyarakat-masyarakat kampung yang tertindas, menandakan perjuangan mahasiswa adalah perjuangan rakyat.

Justeru, kami menyeru mahasiswa, NGO-NGO dan seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyertai penyerahan memorandum di hadapan PWTC pada jam 2 petang, 28 November 2014 ini.
Ayuh kita maknakan, "Mahasiswa: Dari rakyat, untuk rakyat!"

Tiada ulasan: