Sabtu, 1 November 2014

Cabaran Besar Kerajaan Realisasi #Bajet2015

RAKYATNEWS


alt



KUALA LUMPUR . – Bajet 2015 disifatkan lebih mencabar untuk kerajaan berbanding bajet-bajet yang pernah diumumkan pada tahun-tahun sebelum ini kerana melibatkan banyak pindaan akta bagi memenuhi keperluan rakyat.

Perunding Unit Teknikal GST, Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Salihin Abang berkata, kerajaan juga dilihat berusaha bertindak seimbang dalam menentukan sebarang keputusan yang akan dilaksanakan.

Malah, katanya, kerajaan bersungguh-sungguh memastikan pindaan-pindaan akta yang dilakukan di dalam Bajet 2015 lebih seimbang dalam pelaksanaannya dan menguntungkan rakyat.

“Satu daripada cabaran yang terpaksa dipikul kerajaan adalah meningkatkan kesedaran mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam kalangan rakyat,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia pada Seminar Percukaian Kebangsaan 2014 di sini baru-baru ini.

Bajet 2015 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober lalu dengan tema ekonomi keperluan rakyat.

Tambah Salihin, kerajaan juga melaksanakan GST supaya dapat memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, banyak kursus pematuhan GST perlu dijalankan oleh kerajaan terutamanya daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi meningkatkan kesedaran mengenai sistem percukaian baharu itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Abdul Manap Dim berkata, pelaksanaan GST tahun depan tidak perlu mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh negara-negara lain.

“Kita perlu menggambarkan kepada peniaga atau pelabur luar bahawa Malaysia memiliki sebuah sistem pelaksanaan GST yang baik,” ujarnya.

Tiada ulasan: