Tengku Razaleigh Hamzah Tengku Razaleigh Hamzah
 
 
SHAH ALAM - Langkah Kerajaan Malaysia yang membelanjakan hampir 21 peratus daripada Belanjawan 2015 untuk bidang pendidikan harus mendapat pujian.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bagaimanapun berkata, perbelanjaan tinggi itu dilihat seolah-olah tidak berbaloi berbanding pulangan dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Negara (KDNK).

"Sekurang-kurangnya ia sepatutnya memberi pulangan terhadap kualiti atau peningkatan penghasilan mutu dalam pendidikan.

"Dengan cara demikian, kedudukan ekonomi negara akan lebih baik jika taraf pendidikan kalangan tenaga kerja negara bertambah tinggi.

"Inilah satu-satunya cara untuk menaikkan negara ke taraf ekonomi bergaji tinggi melalui peningkatan produktiviti," katanya dalam kenyataannya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah ke-19 Kolej Yayasan Saad, di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Dalam Belanjawan 2015, Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM56.7 bilion, iaitu 21 peratus jumlah Belanjawan Kerajaan Persekutuan untuk tahun depan, yang merupakan yang terbesar berbanding bidang lain.

Beliau juga berkata sudah sampai masanya kerajaan memberi penekanan lebih kepada pendidikan rendah dan menengah berbanding pendidikan tinggi pada masa ini.

"Dari segi pulangan kepada pelaburan, ratio atau dividen pendidikan kerajaan harus memberi tekanan lebih kepada pendidikan rendah dan menengah, terutamanya yang boleh meningkatkan kemahiran.

"Bukan semata-mata mengejar ekonomi berpendapatan tinggi untuk mencapai status negara maju.

"Ini kerana lebih 85 peratus penduduk Malaysia merupakan orang yang makan gaji, bukan pemilik harta atau bekerja sendiri," ujarnya.

Tambah beliau, lebih membimbangkan apabila kedudukan mutu penghasilan pelajaran negara jauh ketinggalan berbanding negara lain yang setaraf dari segi pendapatan dan kuasa beli rakyat Malaysia.

“Hanya 80 peratus dari tenaga kerja seluruh Malaysia mempunyai kelayakan pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Malah pelajar-pelajar kita yang berumur 15 tahun menampakkan mereka ini berkedudukan tiga tahun lebih ke belakang jika dibandingkan dengan mereka yang umurnya yang sama daripada Singapura, Korea, Cina, Jepun dan termasuk daripada Vietnam yang dahulunya di belakang kita," jelasnya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu mengkhususkan bukan sahaja kepada prasarana yang baik, tetapi juga kepada keberkesanan kurikulum dan proses pengajaran serta pembelajaran termasuk kualiti guru sedia ada.

"Cuba kita lihat kepada proses pembelajaran yang sangat penting bagi seseorang pelajar sebab ianya mempengaruhi bagaimana anak-anak murid maju dalam pembelajarannya.

"Kita hantar anak-anak kita untuk belajar, tidak ada lain sebab, supaya dia akan disediakan dengan ilmu dan kepandaian untuk berjaya apabila lulus dari persekolahan atau universiti," katanya lagi.