Rabu, 26 November 2014

Bajet negara wang rakyat, bukan harta Umno

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Umno dicabar supaya melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh MB Selangor, Azmin Ali yang mencadangkan pemberian peruntukan RM200 ribu setahun kepada Adun pembangkang, yakni Umno.

Demikian cabaran Ahli Parlimen Raub, Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz atau dikenali juga Sakmongkol AK47 di dalam blognya.

“Beranikah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang dikuasai oleh Umno memberi peruntukan seperti itu kepada ahli parlimen dan adun pembangkang seperti yang diberi kepada Adun mereka?

“Peruntukan sebanyak itu sama dengan peruntukan yang diberi oleh kerajaan BN dalam sesetengah negeri yang mereka perintah - kepada Adun mereka. Adun pembangkang- yilek.” Tulis Sakmongkol AK47 dalam blognya.

Menurut beliau, tindakan Azmin amat saksama kerana wang yang diberi sebagai peruntukan itu bukanlah wang parti Pakatan - tapi wang rakyat. Walalupun jumlahnya tidak sama seperti peruntukan yang diberikan kepada Adun Pakatan – sekurang-kurang ada peruntukan untuk pembangkang.

“Rakyat tidak perlu khuatir sebab wang peruntukan tersebut bukannya dimasukkan dalam akaun peribadi wakil rakyat tapi diserahkan kepada pejabat tanah dan daerah. Kecuali saya rasa di Sarawak dimana peruntukan dimasukkan kedlaam akaun peribadi.” Tulisnya lagi.

Sebagai wakil rakyat pembangkang, tentunya beliau memahami situasi tersebut, yakni dinafikan hak menerima peruntukan sebagai wakil sah yang dipilih oleh rakya melalui pilihan raya.

“Berani atau tidak kerajaan Umno memberi peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dalam negeri mereka? Tidak mengapa jika adun Umno dapat RM600 ribu - kita hanya perlu RM240 ribu setahun. Tidak mengapa ahli parlimen Umno dapat RM2 juta setahun- kita hanya perlukan Rm1 juta. Duit itu rakyat yang punya.” Tegasnya lagi.

Sakmongkol AK47 turut menekankan peri pentingnya rakyat faham bahawa semua duit dan peruntukan itu adalah hak dan milik rakyat. Bukan milik Umno.

Beliau menyentuh tentang sikap Umno yang sering mengugut rakyat termasuk anak muda. Mereka sering ditekankan tentang apakah sumbangan mereka kepada negara. Anak muda sering didoktrinkan bahawa kerajaan Umno lah yang memberi biasiswa dan kemudahan kepada mereka.

Suasana ini, menurut beliau mengakibatkan perasaan antara tuan dan hamba. Rakyat sebagai hamba mesti patuh kepada tuannya, iaitu kerajaan Umno.

“Ini masalah pokok penyokong pemerintah - hanya kerana mereka menyalurkan wang rakyat, mereka ingat mereka pemilik dan tuan dan kita ini kuli dan hamba. Selalu kita dengan orang menyebut- jangan tanya apa pemerintah boleh beri kamu, tanya apa kamu boleh sumbangkan kepada kerajaan.” Tegurnya.

Bagi beliau, perkara ini bertentang dengan piagam individu berjiwa merdeka. Rakyat yang berjiwa merdeka tidak anggap kerajaan atau pemerintah sesuatu yang menghimpit atau menekan mereka dari atas. Pemerintah itu adalah wasilah atau jalan untuk mencapai kepentingan bersama.

Golongan yang cerah pemikiran hari ini bertanya - apakah yang mereka boleh capai melalui kerajaan untuk kepentingan bersama. Apabila pelajar dan golongan progresif lain menentang kerajaan - mereka mendedahkan perihal keberadaan golongan yang terpinggir yang tidak menikmati kesejahteraan bersama.

Mereka memberitahu bahawa peranan kerajaan yang diujudkan oleh persetujuan rakyat jangan dijadikan jentera menekan dan menindas rakyat.

Kerajaan yang memerintah sekarang memegang semua duit rakyat yang bayar cukai memang bertanggung jawab mengurus dan mentadbir wang rakyat. Pihak pembangkang dan golongan yang menjaga kesedaran masyarakat memantau supaya wang rakyat dibelanjakan secara berhemah dan memantau supaya pemerintah jangan zalim dan mencabul hak rakyat.

“Jika mereka beri PTPTN atau bantuan lain, itu bukan wang diambil dari saku mereka sendiri - bahkan wang tersebut adalah daripada cukai yang diambil dari rakyat. Pelajar harus berterima kasih tapi mesti berdiri menentang salah laku dan rasuah dan pembulian keatas rakyat.” tegas beliau lagi.

Beliau dengan tegas menyatakan bahawa kalau kerajaan tidak cekap, korup, tidak adil, adalah menjadi tanggung jawab untuk semua warga negara yang prihatin, bangun bercakap. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: