Mohd Khalil Abdul Hadi Mohd Khalil Abdul Hadi
 
 
SHAH ALAM  - Pemuda Pas menggesa pihak berkuasa memandang serius soal penyebaran video dan gambar lucah mengaitkan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang mula tersebar, Khamis lalu.

Timbalan ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara seumpama ini tidak boleh dibiarkan dan tindakan perlu diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab.

“Imej dan reputasi UAI yang sengaja dicalarkan dengan apa juga sebab ini sangat merunsingkan kita semua.

“Insiden ke atas UAI ini harus dipandang dan diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa. Siasatan perlu dilakukan dan tindakan perlu dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, jika dulu artis dan ahli politik menjadi sasaran, kini golongan ulama turut cuba dibogelkan di khalayak ramai.

“Sebelum ini, hanya para artis sahaja dikaitkan dengan skandal seumpama itu. Disusuli pula ahli politik menjadi sasaran yang bertujuan menjatuhkan seteru politik sendiri.

“Suburnya perangai jahat ini, kini para ulama dan agamawan pula cuba dibogelkan di hadapan khalayak ramai.

“Musibah sungguh umat kita dihinggapi penyakit rosak ini yang merosakkan ramai orang dan ketamadunan ketimuran manusia kita di negara ini.

“Jika dibiarkan, kelak tidak perlu lagi sesiapa pun membogelkan orang lain, mereka sendiri akan rela hati membogelkan diri mereka,” katanya.

Menyentuh soal penzahiran rasa dukacita ke atas insiden tersebut oleh pelbagai pihak, Muhammad Khalil berkata, situasi itu bukti bahawa Allah tidak mengizinkan makhluk yang mulia dihina.

“Seluruh pencinta ilmu dan ulama merasa amat dukacita dengan insiden penyebaran video fitnah yang dikaitkan dengan da’i kesayangan ummah dan dambaan jutaan pemuda, Ustaz Azhar Idrus.

“Rasa dukacita yang dimanifestasikan dengan pelbagai ekspresi oleh bermacam-macam pihak itu tanda bahawa Allah tidak mengizinkan makhluk yang dimuliakanNYA itu dihina tanpa kehendakNYA. Bahkan, suatu kehinaan pula ke atas pelaku fitnah itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau sempat mendoakan agar UAI sekeluarga tabah dalam menghadapi ujian tersebut dan sentiasa istiqamah dalam menyebarkan ilmu.

Rakaman berdurasi 38 saat itu dikatakan mula tersebar melalui beberapa blog, Facebook dan WhatsApp sehingga menjadi topik hangat.

Menurut sumber rapat kepada UAI, penceramah itu tidak akan membuat sebarang laporan polis berhubung penyebaran video lucah itu yang dianggap hanya niat jahat pihak tertentu untuk menjatuhkan imej beliau dan golongan ulama di negara ini.