Tian Chua Tian Chua
 
 
SEREMBAN - Naib Presiden PKR, Tian Chua tetap optimis perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan tersia-sia, walaupun seandainya keputusan Mahkamah Persekutuan tidak berpihak kepada Ketua Umum PKR berkenaan pada Rabu ini.

Secara tidak langsung, kata beliau, pemenjaraan Anwar mampu mencetuskan satu kesedaran baharu dalam kalangan generasi muda yang mampu merangsang mereka untuk bangkit menegakkan keadilan.

“Dahulu pun, beliau (Anwar) pernah dipenjarakan dan tidak memimpin secara fizikal. Bagaimanapun, Anwar terus menjadi inspirasi bagi kita semua untuk berjuang bersungguh-sungguh sehinggalah beliau bebas dan berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat (PR).

“Sekiranya mereka (kerajaan) fikir boleh kurangkan pengaruh Anwar dengan memenjarakan beliau, itu satu kesilapan besar. Dalam penjara sekalipun, Anwar masih boleh memimpin dan kita yakin pengaruhnya akan lebih tinggi berbanding sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menghadiri program solidariti untuk Anwar di Kampung Lambar Hilir, Labu, di sini, petang semalam.

Dalam pada itu, mengulas tindakan Timbalan Ketua PKR Cabang Petra Jaya, Idris Bohari yang mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa serta-merta pula, beliau beranggapan perkara itu sengaja ditimbulkan untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kes Anwar.

“Ada pihak cuba memberi gambaran, seolah-olah parti (PKR) sudah kehilangan sokongan. Mereka cuba mengelirukan orang ramai dengan perkara sebegini. Tetapi, kita akan buktikan persepsi itu tidak benar,” katanya yang menyifatkan tempoh 48 jam sebelum keputusan mahkamah diumumkan sebagai cukup getir dan kritikal.