Ahad, 26 Oktober 2014

'Tubuh lembaga cari, desak ganti tanah rizab'

MALAYSIAKINI



 


Seorang pensyarah mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan satu badan berkanun bagi mempertahankan dan mendesak pihak berkuasa mencari ganti bagi tanah rizab Melayu yang diambil sebelum ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (Uitm) Perak Mohd Hasrol Haffiz Aliasak berkata cadangan mewujudkan Lembaga Amanah Tanah Rizab Melayu bagi memastikan kepentingan orang Melayu.

"Badan ini dapat jadi satu mekanisme yang diberi kuasa untuk mencari dan mendesak kerajaan negeri dan persekutuan menggantikan tanah rizab Melayu yang hilang," katanya.

Beliau demikian ketika ditemui media selepas Wacana dan Forum Isu Tanah Rizab Melayu anjuran NGO pendesak Melayu, PERKASA di ibu negara hari ini.

Mohd Hasrol sebelum ini mendedahkan kajian beliau pada 2009 mendapati keluasan tanah berkenaan hanya kira-kira 12 peratus daripada 12.9 juta hektar keseluruhan tanah semenanjung Malaysia tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka.

Bagaimanapun mereka bakal berdepan dengan langkah sukar kerana kuasa tanah kini berada di bawah kerajaan negeri mengikut senarai dua perlembagaan persekutuan

"Masukkan tanah dalam senarai bersama Perlembagaan Persekutuan. Bila kita wujudkan akta dan undang-undang seperti Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda).

"Kalau perbadanan sebegini boleh wujud dengan satu akta persekutuan, tak ada masalah," katanya.

Sementara itu, Hasrol berkata sekarang bukan masa untuk mencari pihak yang salah kerana hal itu tidak akan selesai.

Sebaliknya, beliau percaya mekanisme baru dengan kerjasama kerajaan pusat dan negeri ini dapat menyelesaikan masalah kehilangan tanah rezab Melayu ini.

"Bukan cara terbaik nak salahkan sesiapa. Sekarang kita kena pertahankan baki tanah dan minta kerajaan siasat di mana tanah ini.

"Kalau nak cari dalang sahaja sampai bila nak selesai?" katanya.

Tiada ulasan: