Ahad, 26 Oktober 2014

'Tiang seri' negara bakal dibahas dalam AGM Umno

MALAYSIAKINI


 


Umno sedang mengumpul pandangan daripada akar umbi berhubung perkara berkaitan 'tiang seri' negara seperti agama, kaum dan institusi diraja untuk dibahaskan pada perhimpunan agung parti itu bulan depan.
  
Naib Presiden parti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pandangan berkenaan penting bagi mengelak perkara berkaitan 'tiang seri' negara menjadi polemik hingga mencetuskan perpecahan kaum di negara ini.
 
"Majlis Tertinggi Umno sudah putuskan saya memimpin Jawatankuasa Usul dan Jurucakap sempena Perhimpunan Agung Umno. Saya juga pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan Umno.
  
"Sehubungan itu, Umno menerusi jawatankuasa dan biro ini sedang mendapatkan pandangan daripada akar umbi mengenai perkara-perkara 'tiang seri' untuk dibawa dan dibahaskan ke Perhimpunan Agung parti," katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Deepavali Muafakat Johor di Kluang, hari ini.
  
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor R Vidyanathan.

Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata pandangan daripada akar umbi amat penting bagi Umno dalam menyatakan pendirian parti itu berhubung perkara-perkara yang sering diperkatakan rakyat terutamanya Akta Hasutan.
 
Menurutnya mengambil kira pandangan akar umbi juga merupakan amalan tradisi Umno dan Barisan Nasional dalam menjaga kepentingan rakyat.
 
Konvensyen Umno Johor di Johor Baharu awal bulan depan juga akan dijadikan medium bagi mendapatkan maklum balas daripada akar umbi berhubung perkara berkenaan, katanya. 
-Bernama

Tiada ulasan: