Selasa, 28 Oktober 2014

Suhakam seru pembaharuan penjara di Malaysia

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ingin merujuk kepada pendedahan oleh P. Uthayakumar berkenaan pemenjaraan beliau di Penjara Kajang, dan ingin menyatakan bahawa berikutan memorandum yang diterima daripada Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia pada 5 Ogos 2013 mengenai layanan buruk yang dialami oleh  P. Uthayakumar di Penjara Kajang, Suhakam telah menjalankan siasatan ke atas tuduhan yang dibuat dan mengambil beberapa tindakan susulan.

Ini, kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam termasuk mengadakan lawatan ke Penjara Kajang pada 13 Ogos 2014 untuk mengesahkan aduan yang diterima dengan pihak-pihak yang berkaitan, menghantar surat rasmi kepada Jabatan Penjara pada 21 Ogos 2013 mengenai isu-isu yang diketengahkan dalam memorandum tersebut, dan diikuti dengan satu mesyuarat bersama Jabatan Penjara pada 4 September 2013 untuk membincangkan antara lain, isu prosedur yang berkaitan dengan aduan bertulis yang diterima daripada tahanan, semasa lawatan Suhakam ke penjara.

"Suhakam juga telah mengambil langkah tambahan dengan menjalankan kajian tematik berkaitan hak kepada kesihatan di dalam penjara" ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, objektif utama kajian itu adalah untuk memastikan bahawa keadaan semua penjara di negara ini adalah konsisten dengan tahap kesihatan dan keselamatan yang wajar, serta melindungi martabat manusia untuk mencapai sistem keadilan jenayah yang menghormati hak-hak individu.

Dalam melaksanakan kajian itu, katanya Suhakam telah membuat lawatan khas ke penjara-penjara di seluruh negara untuk mengumpul data dan maklumat yang berkaitan dengan isu-isu yang dihadapi oleh kedua-dua banduan dan kakitangan penjara.

"Kaedah yang digunakan dalam kajian ini melibatkan kaji selidik melalui borang soal selidik dan sesi temu bual bersama responden yang berkaitan mengenai akses kepada penjagaan kesihatan di penjara," ujarnya.

Beliau berkata, Suhakam telah melawat sebanyak tiga belas (13) penjara - Kajang dan Penjara Wanita Kajang, Sungai Buloh (Selangor), Taiping (Perak), Pengkalan Chepa (Kelantan), Tapah dan Bentong (Pahang), Seremban (Negeri Sembilan), Kuching, Miri, Sibu dan Limbang (Sarawak), serta Kota Kinabalu (Sabah).

Sehingga hari ini, tambah beliau sebanyak 4,086 tahanan, 646 kakitangan dan 37 pembantu perubatan telah terlibat dalam kaji selidik tersebut.

Beliau menjelaskan, laporan yang mengandungi hasil kajian dan syor-syor akan diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan serta pihak kerajaan, sejajar dengan objektif Suhakam dalam projek ini, iaitu untuk memperjuangkan peningkatan taraf kesihatan di penjara-penjara di seluruh Malaysia.

Menurutnya lagi, berdasarkan lawatan berkala telah dijalankannya pada masa lalu, Suhakam melihat keperluan untuk reformasi yang lebih sistematik dan konsisten dalam penjara untuk menangani pelbagai isu asas berkaitan penjagaan kesihatan, termasuk penjagaan kesihatan mental untuk kedua-dua kakitangan dan tahanan, keadaan di penjara, dan juga keadaan kerja kakitangan penjara.

"Suhakam juga sedang menggalakkan pihak kerajaan untuk membuat pindaan tambahan kepada undang-undang penubuhannya yang, antara lain, akan memberikannya kuasa untuk melakukan kunjungan mengejut ke penjara dan pusat tahanan di Malaysia," ujarnya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: