Jumaat, 3 Oktober 2014

Subsidi petrol hanya 28 sen seliter, mana pergi lebihan peruntukan?

Petrol pump

Roketkini.com


KUALA LUMPUR- Ke manakah berbilion-bilion ringgit yang tidak digunakan selepas pemotongan subsidi dibelanjakan?

Demikan persoalan dibangkitkan ekoran tindakan kerajaan menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuatkuasa tengah malam tadi.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Teo Nie Ching berkata, dengan kenaikan itu kerajaan memiliki lebihan RM1.341 bilion peruntukan subsidi dari Belanjawan 2014.

“Selepas kenaikan harga, kerajaan menjangkakan akan menggunakan lebih RM21 bilion untuk subsidi RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) untuk tahun 2014.

“Namun dalam belanjawan lalu, kerajaan telah memperuntukkan RM22.341 bilion untuk subsidi tersebut. Jadi ke manakah baki RM1.341 bilion akan dibelanjakan?” katanya dalam satu kenyataan.
Petrol RON95 kini dijual pada harga RM2.30 seliter, manakala diesel RM2.20 seliter.

Kali terakhir kenaikan harga minyak RON 95 adalah pada 2 September 2013 iaitu sebanyak 20 sen dari RM1.90 kepada RM2.10, manakala diesel dari RM1.80 kepada RM2.00.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata, dengan penurunan harga minyak dunia, subsidi kerajaan ke atas petrol RON95 hanya 28 sen seliter.

Menurut Teo, lebihan dalam bekalan minyak menyebabkan harga minyak menjunam kepada kurang daripada USD100 segelen untuk kali pertama dalam tempoh 16 bulan.

“Walaupun sebelum subsidi dikurangkan, kerajaan boleh menjimatkan banyak peruntukan selepas jatuhnya harga minyak dunia. Dengan mengambil kira harga pasaran RON95 iaitu RM2.58 seliter. Kerajaan kini hanya mensubsidi 28 sen seliter.

“Jadi, rakyat Malaysia perlu tahu ke mana perginya wang yang tidak digunakan ini,” katanya.

Mengapa selepas PRK Pengkalan Kubor?

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Teo Kok Seong mempersoalkan kenaikan yang dibuat sebaik selepas BN memenangi Pilihanraya Kecil Pengkalan Kubor, hanya seminggu yang lalu.

“Jika BN benar-benar menghormati pengundi di sana dan seluruh rakyat Malaysia, mereka perlu berani membuat kenaikan ketika kempen PRK agar penduduk dapat membuat pilihan dan menyatakan pendirian.

“Tindakan ini sekali lagi menunjukkan BN tidak berani berdepan dan berterus-terang dengan rakyat,” katanya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: