Isnin, 27 Oktober 2014

Pesuruhjaya PAS Selangor persoal kewajaran ahli PAS serta Pasma

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad mempersoal kewajaran ahli-ahli dari parti itu menyertai Persatuan Ummah Sejahtera (Pasma).
 
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah disalah tafsir dan dijadikan pentas untuk menghentam pemimpin parti berkenaan.
 
"Ahli-ahli PAS wajar mematuhi nasihat dari Majlis Syura Ulamak PAS agar mereka menjauhkan diri dari NGO Pasma.
 
"Tidak wajar bagi pemimpin parti mengkritik satu sama lain menggunakan pentas Pasma. Ramai berpandangan Pasma ditubuhkan bukan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat tetapi untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin tertentu," katanya melalui kenyataan medianya hari ini.
 
Pasma yang ditubuhkan pada 10 Ogos lalu diterajui pemimpin PAS, ADUN Pangkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi. 
 
Pasma terbuka kepada semua pihak tanpa mengira latar politik tetapi mahu turut serta berbincang dan menyuarakan pandangan mereka mengenai isu membabitkan pengukuhan Pakatan Rakyat di luar konteks parti politik.
 
Ia dikatakan akan memberi fokus kepada isu politik tanah air dan cenderung kepada pengukuhan pakatan pembangkang.
 
Mengulas lanjut Iskandar melihat penubuhan NGO tersebut lebih kepada mendedahkan pengurusan PAS kepada umum.
 
"Oleh yang demikian nasihat Majlis Syura agar ahli-ahli PAS menjauhkan diri dari Pasma adalah tepat malah ahli-ahli tidak sepatutnya memberi kerjasama kepada Pasma untuk menganjurkan program mereka," demikian menurutnya.
 
Sebelum ini beberapa pemimpin tertinggi PAS, antaranya Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan tidak ada keperluan untuk ahli-ahli parti itu menyertai Pasma.

Tiada ulasan: