Jumaat, 24 Oktober 2014

'Perumahan kawasan bukit perlu kajian risiko tanah'

MALAYSIAKINI


Pihak berkuasa digesa agar tidak membenarkan projek perumahan di kawasan berbukit tanpa kajian risiko struktur tanah yang terperinci terlebih dahulu, kata pakar Geologi Struktur dan Tektonik Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Mustaffa Kamal Shuib.
  
Mustaffa Kamal berkata kajian itu penting bagi memastikan jenis bangunan yang dibina bersesuaian dengan struktur tanah di kawasan itu agar keselamatan penghuni untuk jangka masa panjang lebih terjamin.
  
"Kebanyakan tanah di negara ini bersifat lempung iaitu mudah menyerap air dan sekiranya hujan lebat berlaku akan menyebabkan tanah menjadi tepu dan hilang sifat kohesifnya sehingga berlakunya tanah runtuh," katanya kepada Bernama.
  
Mustaffa Kamal berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian tanah runtuh di Apartment Teratai dekat Bukit Beruntung yang berlaku Isnin lepas.
  
Katanya pemotongan cerun di kawasan berbukit bagi membangunkan projek perumahan juga boleh menyebabkan struktur tanah tidak stabil dalam jangka masa panjang.
  
"Setiap projek perumahan pasti akan melibatkan pemotongan cerun di kawasan berbukit dan perkara ini secara tidak langsung telah mengganggu alam semula jadinya yang pasti akan menyebabkan kawasan tersebut tidak stabil dalam jangka masa panjang," katanya.  
  
Justeru, Mustaffa Kamal berkata pemaju perlu sentiasa bertanggungjawab dengan melakukan pemantauan berkala di projek perumahan walaupun selepas ia siap dan berpenghuni bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh berlaku.
  
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Jamaludin Non berkata pemotongan cerun bagi membina bangunan di
tapak projek perumahan perlu menepati reka bentuknya melalui penilaian oleh jurutera profesional.
  
"Selain itu, sekiranya mempunyai kawasan cerun di kawasan itu, pihak pemaju perlu membina dinding konkrit yang dilengkapi dengan laluan pengaliran air dari atas ke bawah bagi memastikan tanah tidak mengalami tekanan di bahagian bawah," katanya.
  
Beliau menjelaskan apabila melakukan kajian terhadap struktur tanah, pihak pemaju perlu mengambil kira kajian pada keseluruhan kawasan itu dan bukan hanya
tertumpu kepada kawasan cerun yang berpotensi berlakunya tanah runtuh.

"Jika tapak projek perumahan terutamanya berdekatan dengan kawasan cerun itu disahkan selamat, ia bukan bermakna tiada tanah runtuh pada masa akan datang. Kita tidak tahu bagaimana keadaan pembangunan di kawasan berdekatan yang mungkin akan menyebabkan air kembali mengalir ke sana dan menyebabkan tanah runtuh.
  
"Sebab itulah penelitian perlu dibuat di keseluruhan kawasan bukan hanya tertumpu kepada tapak projek perumahan sahaja sebelum mendapatkan kelulusan daripada pakar dan pihak berkuasa tempatan bagi membenarkan projek itu dilaksanakan," katanya.
  
Dalam pada itu, ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor, June Leow berkata pihaknya akan mengarahkan Jabatan Kerja Raya, Pejabat Tanah dan Wilayah serta Jabatan Pengaliran dan Saliran untuk membaiki kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
  
"Ia bagi mengukuhkan semula tanah yang terjejas akibat pengaliran air dan mengurangkan risiko berlakunya tanah runtuh.
  
"Oleh sebab ada kabel elektrik berdekatan kawasan terjejas, kami juga akan mengarahkan Tenaga Nasional Berhad untuk melakukan penyelenggaraan bagi memastikan kawasan itu selamat," katanya.
  
Leow berkata pihaknya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak dan berharap kawasan terjejas akan dibaiki secepat mungkin.
  
Sehingga kini, sebanyak 219 keluarga membabitkan 860 penduduk yang menetap di dua blok Apartmen berkenaan terlibat dalam insiden kira-kira 10 pagi, Isnin.
  
Mereka kini ditempatkan di tiga penempatan iaitu di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, Sekolah Kebangsaan Taman Bunga 2 dan Sekolah Menengah Taman Bunga Raya 1.- Bernama

Tiada ulasan: