Selasa, 21 Oktober 2014

Perpaduan kaum: Pakatan mesti tunjukkan contoh

MAZLAN ALIMAN 


HARI ini, saya difahamkan, Jabatan Perdana Menteri menganjurkan dialog Siri ke 4/2014 di Putrajaya yang disertai kakitangan awam.

Serangan utama ditujukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap pemecah belah dan ejen Amerika. Cara mereka menghentam DSAI, saya dapat rasakan apakah nasib DSAI di Mahkamah Persekutuan 28 Oktober ini.

Seperti biasa, isu Hak Istimewa Orang Melayu dan Melayu Malaysia akan jadi seperti Melayu Singapura dikumandangkan. Skrip yang tidak berubah sejak merdeka.

Kakitangan awam diminta pertahankan kerajaan hingga ke titisan darah yang terakhir. Maka disenaraikan kononnya banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang beroleh dana asing, yang dianggap pengkhianat negara. Di terangkan pula isu GST; manfaatnya kepada rakyat negara ini.

Sampai kiamat pun perpaduan dan keharmonian kaum tidak akan dapat dicapai jika begini caranya kita mengurus kehidupan masyarakat berbilang kaum. Prasangka dan assabiyyah-rasis tidak pernah reda. Di khalayak rakyat, dinyatakan 1 Malaysia, disambut 16 September, diselaraskan cuti selama seminggu buat tiga kaum terbesar; Melayu, Cina dan India, diwujudkan jawatankuasa parlimen mengenai perpaduan; tapi dalam waktu yang sama, pemimpin Umno, BTN dan agensi Kerajaan tidak pernah berhenti memainkan sentimen perkauman yang menimbulkan kebencian antara satu sama lain.

Justeru, saya amat mengharapkan Pakatan Rakyat mengambil model pemerintahan yang adil dan saksama buat semua kaum. Uniknya, Datuk Ahmad Yaakob adalah Menteri Besar Kelantan daripada PAS, Azmin Ali pula Menteri Besar Selangor daripada PKR, manakala Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang daripada DAP. Ketiga-tiga parti berpeluang menerajui kerajaan dan mesti membuktikan Kerajaan yang dipimpin lebih baik daripada BN.

Kerajaan PR jangan dilihat pro kepada satu-satu kaum sahaja. Meskipun PAS hanya ada satu kerusi di Pulau Pinang, hakikatnya jumlah penduduk Islam hampir sama dengan masyarakat Cina di sana. Begitu juga di Kelantan, 5 peratus penduduk non muslim dan tiada satu pun kerusi pun DAP di Kelantan; hak mereka yang bukan Islam mesti dirai dan dihormati.

Jangan izinkan elemen tidak sihat yang memecah-belahkan perpaduan dalam PR berlaku. Pemimpin tertinggi dalam PR bukan untuk mewakili partinya sahaja, tetapi semua kaum. Saya terkilan dengan isu saman-menyaman dalam PR mutakhir ini, sama ada membabitkan Presiden PAS, Ketua Menteri Pulau Pinang dan YB Ust Nasrudin Hassan Tantawi. Ia memberi imej negatif kepada PAS dan PR. Berbagai-bagai usaha dibuat untuk mencari jalan penyelesaian, nampaknya menemui jalan buntu.

Apa pun keputusan yang membabitkan DSAI; pemimpin tertinggi PR mesti berjiwa besar dengan agenda perubahan buat seluruh rakyat. Pantai Timur, Pantai Barat serta Malaysia Timur  sama penting meskipun dibezakan komposisi kaumnya. Kembali muafakat, mencapai kata sepakat. Perkukuh PR dan angkat idea-idea besar sebagai dasar PR agar tidak ada kelompok kaum yang dizalimi.

Saya teringat kata-kata Tok Guru Nik Abdul Aziz ketika bertemu beliau di Pulau Melaka baru-baru ini. “...teruskan dakwah dengan bukan Islam, terutamanya anak muda Cina. Kalau intelek mereka masuk Islam, lebih cepat Islam berkembang'. Tok Guru berpandangan jauh, meskipun tinggal di negeri yang orang Cina boleh dibilang dengan jari di sesetengah tempat!

Jangan dipersia-siakan mandat rakyat, PAKATAN HARAPAN RAKYAT! – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: