Selasa, 28 Oktober 2014

Perbicaraan liwat II Anwar disambung hingga Khamis

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan melanjutkan pendengaran kes rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tiga hari disebabkan jumlah penghujahan yang dikemukakan barisan peguam bela.
 
Pendengaran yang bermula hari ini akan bersambung sehingga Khamis, kata Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria sebelum menangguhkan sesi rehat tengah hari.
 
Peguam utama Anwar yang juga bekas hakim mahkamah persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sepanjang pagi tadi mengemukakan hujah bagi membuktikan pengadu kes liwat, Mohd Saiful Bukhari Azlan bukan saksi yang boleh dipercayai.
 
Selain Sri Ram, peguam lain yang akan mengemukakan hujah kes adalah Ramkarpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan N Surendran.
 
Pihak pendakwa yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan mengemukakan hujah selepas pihak pembelaan, kemudian diikuti hujah akhir oleh kedua-dua pihak sebelum pendengaran berakhir.
 
Shafee ketika ditemui pemberita semasa sesi rehat berkata, beliau menjangkakan lanjutan itu kerana hujah panjang lebar dan jumlah kertas kerja yang perlu diteliti.
 
"Kami mendengar hujah mereka. Seperti dijangka, kami perlu mengemukakan jawapan balas.
 
"Mahkamah akan dilanjutkan sehari lagi sehingga Khamis, dan kemungkinan sehingga Jumaat," katanya di luar mahkamah.
 
Lima panel hakim mendengar rayuan Anwar, diketuai Ariffin, serta Tan Sri Raus Sharif, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
 
Barisan peguam bela Anwar diketuai Sri Ram, serta 14 peguam lain.
 
Pada Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada dakwaan meliwat Saiful di sebuah apartmen di Damansara pada Jun 2008.
 
Anwar, 67, dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan, tetapi mendapat penangguhan sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
 
Sri Ram pada awal tadi mengemukakan beberapa kesilapan bukti dan testimoni Saiful yang tidak konsisten sepanjang perbicaraan.
 
Anwar memberitahu wartawan di luar mahkamah bahawa dirinya yakin akan dibebaskan berdasarkan fakta dan undang-undang.
 
"Saya yakin hanya jika tidak ada campur tangan politik," katanya sejurus keluar daripada mahkamah semasa sesi rehat.

Tiada ulasan: