Khamis, 30 Oktober 2014

Perak alu-alukan tuan rumah Ulang Tahun PAS ke-63

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: PAS Perak menyambut baik keputusan PAS Pusat menganjurkan Pelancaran Sambutan Ulang Tahun PAS ke-63 di negeri itu pada 29 hingga 30 November depan.

"Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas kepercayaan PAS Pusat kepada PAS negeri dalam mengendalikan program besar yang amat bersejarah ini.

"Pihak kami telah memilih Bandaraya Diraja iaitu Kuala Kangsar sebagai lokasi program tersebut dan ianya akan dihadiri oleh pimpinan tertinggi PAS Pusat serta tokoh-tokoh yang dijemput khas," ujar Ketua Penerangan PAS negeri, Mohd Misbahul Munir Masduki kepada Harakahdaily.

Katanya, para pimpinan tertinggi parti akan berkampung selama dua hari di sana bagi mengisi program-program yang akan diatur termasuklah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dijangka akan turun merasmikan sambutan itu.

PAS Perak juga, katanya akan menampilkan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali pada hari terakhir program dan jemputan khas tokoh agama negara bagi mengisi slot kuliah.

Menurutnya, antara acara menarik pada program tersebut adalah perbarisan ahli PAS dari seluruh negeri dengan pelbagai gaya ragam pakaian sejak era 60-an hingga sekarang, perarakan basikal, motor dan kereta antik juga akan diadakan.

"Dijangka rumah kediaman tokoh PAS terhebat, Almarhum Prof Dr Zulkifli Muhammad di Kota Lama Kiri akan diisytiharkan sebagai teratak memoir bersejarah bagi tokoh tersebut kerana di rumah itulah beliau dibesarkan dan dikebumikan betul-betul di hadapan rumahnya," jelasnya yang juga pengarah program tersebut.

Bagi PAS negeri, program itu diharapkan menjadi platfom untuk menaikkan imej PAS Perak dalam meneruskan momentum bagi merampas semula  kerajaan negeri daripada BN pada pilihan raya umum yang akan datang.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat khususnya negeri Perak  datang beramai-ramai pada hari tersebut dan diyakini kehadiran ke sana sangat berbaloi. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: