Selasa, 28 Oktober 2014

Pembangunan: MP BN Sarawak kritik kerajaan

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan sejauh mana peruntukan pembangunan yang disalurkan ke Sarawak memberi kesan kepada menaik taraf hidup rakyat di negeri itu.

Ini kerana, menurut Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ramai dalam kalangan ahli parlimen BN di Sarawak sering mengkritik kerajaan kerana menganaktirikan pembangunan di negeri mereka.

"MP BN sering meminta peruntukan daripada kerajaan kerana tidak cukup pembangunan.

"Taraf hidup rakyat yang masih jauh ketinggalan walaupun dikatakan mendapat peruntukan besar daripada kerajaan," katanya dalam soalan tambahan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini.

Hakikat yang berlaku di Sarawak mahupun di Sabah, katanya banyak pembangunan dilakukan tetapi tidak ada limpahan nikmat pembangunan kepada rakyat negeri itu.

"Berapa hasil pungutan cukai-cukai termasuk korporat, petroleum yang diperolehi Sarawak yang diberikan kepada kerajaan," soalnya.

Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan rakyat tidak menikmati limpahan pembangunan di negeri mereka.

"Bukan sahaja pembangunan dibuat tetapi limpahan pembangunan untuk rakyat di Sarawak.

"Ladang sawit di sana orang tempatan ramai yang bekerja, berbeza di Semenanjung. Inilah limpahan pembangunan jelas memberi pendapatan lebih baik," jelasnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah peruntukan pusat yang telah diberikan kepada negeri Sarawak untuk segala pembangunan negeri itu dalam lima tahun yang lepas. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: