Khamis, 16 Oktober 2014

PAS tidak halang sesiapa ingin keluar parti

ANIS NAZRI


KUALA LUMPUR: PAS tidak menghalang mana-mana individu yang ingin keluar dari parti berkenaan atas dasar menghormati hak seseorang itu untuk berbuat demikian.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, menegaskan ia berbeza jika seseorang itu memohon untuk menyertai parti, yang mana memerlukan pertimbangan jawatankuasa pusat untuk menerima atau menolaknya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Datuk Tamrin Ghafar untuk keluar dari parti Islam itu, pagi tadi.

"Kita tidak boleh halang mana-mana yang hendak keluar parti.  Jika itu hasrat dia, kita terima. Tak boleh halang.

"Kalau nak masuk (sertai PAS), itu kena dipertimbangkan sama ada nak terima atau tidak. Perlu dibawa ke peringkat jawatankuasa kerja untuk memutuskannya. Itu lain. Tapi, kalau nak keluar, kita tak boleh halang," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Mengulas lanjut, Mustafa yang kini tidak berada di Kuala Lumpur mengatakan bahawa beliau belum menerima surat daripada Tamrin.

Bagaimanapun, pegawai di Pejabat Agung PAS, di Jalan Raja Laut, telah memaklumkan kepada beliau berkenaan surat tersebut yang dihantar pembantu Tamrin pagi tadi.

"Saya belum terima surat tersebut sebab saya tidak berada di Kuala Lumpur. Cuma pegawai di pejabat memaklumkan ada surat dari Tamrin yang diserahkan pembantunya, dan telah dicop terima oleh pejabat.

"Bila saya ke Kuala Lumpur nanti, saya akan meneliti surat tersebut. Tapi jika beliau dah umumkan keluar parti hari ini, maka begitulah keadaannya. Kita tak boleh halang," tegas beliau.

Surat 'Menarik Diri Sebagai Ahli PAS' yang ditandatangani Tamrin pada jam 9.10 pagi dan kira-kira sejam kemudian terus dihantar ke pejabat Setiausaha Agung PAS melalui serahan tangan di ibu pejabat parti itu.

Anak bekas Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak memaklumkan alasan mengapa  bertindak demikian. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: