Isnin, 20 Oktober 2014

Pantai Tok Jembal kritikal, peruntukan RM70.5 juta

BERNAMA


 


KUALA LUMPUR: Berikutan kebimbangan mengenai masalah hakisan pantai di Kampung Tok Jembal, Terengganu, kerajaan memperuntukkan RM70.5 juta bagi projek pengurusan pantai di kawasan itu bagi mengatasi masalah itu.
  
Pengarah JPS Terengganu Ir C Poobalan, berkata projek yang diberikan tahun ini, merupakan projek dua tahun dan dijangka selesai pada 2016.
  
"Kami juga mendapati hakisan pantai Tok Jembal dalam keadaan yang kritikal dan langkah pencegahan sedang dijalankan," katanya kepada Bernama.
  
Semalam, Bernama melaporkan kajian simulasi kelautan yang dijalankan empat tahun lalu oleh penyelidik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), mendapati 42.6 meter kawasan darat itu telah terhakis.
  
Kawasan yang teruk terjejas adalah sepanjang 3.4 kilometer yang bermula dari utara Lapangan Terbang Sultan Mahmud sehingga ke UMT dan turut melibatkan Kampung Tok Jembal.
  
Poobalan berkata rancangan mereka untuk mengatasi masalah hakisan itu ialah dengan membina empat pemecah ombak luar pesisir, benteng hakisan terminal dan rawatan penyuburan pantai.
  
Beliau berkata benteng pemecah ombak adalah sebahagian daripada sistem pertahanan pantai bagi mengurangkan intensiti tindakan ombak di kawasan pantai dan dengan itu mengurangkan hakisan pantai atau menyediakan tempat perlindungan yang selamat.
  
"Bagi benteng hakisan pula, ia adalah satu struktur kejuruteraan pantai bagi membentuk satu tebing yang dapat menghalang aliran air dan mengehadkan pergerakan mendapan.
  
"Rawatan pantai pula digunakan dengan menambah pasir atau mendapan dalam jumlah yang banyak di pantai untuk menangani hakisan dan melebarkan kawasan pantai," katanya.
  
Poobalan berkata pada masa ini perkembangan projek pengurusan pantai itu kini sudah mencapai 15 peratus dan berikutan musim monsun bulan ini, pembinaan benteng pemecah ombak ditunda berikutan ombak besar.
  
Katanya selain Tok Jembal, beberapa kawasan lain di Terengganu juga menghadapi masalah hakisan tetapi tidak seteruk di kampung itu pada masa ini. - Bernama

Tiada ulasan: