Sabtu, 4 Oktober 2014

Minyak naik: Lebih banyak motosikal di jalan raya, lebih banyak kemalangan

lct

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Kenaikan harga minyak menyebabkan orang ramai bertukar kenderaan dari menggunakan kereta kepada motosikal, sekaligus menyebabkan potensi peningkatan kadar kemalangan jalan raya, kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Chin Tong merujuk Laporan Keselamatan Jalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2013 yang dikeluarkan baru-baru ini bahawa Malaysia mempunyai kadar paling tinggi kematian di jalan raya perkapita di dunia.

Menurut laporan tersebut, kadar kemalangan maut di jalan raya bagi Malaysia adalah 25 bagi setiap 100,000 penduduk berbanding India 18.9, Rusia 18.6 dan China, 20.5 bagi setiap 100,000 penduduk.

Malaysia turut merekodkan risiko kematian jalan raya antara tertinggi di dunia semenjak 1996, dengan sejumlah 4.5 juta kemalangan jalan raya dilaporkan antara 2000 dan 2009 dengan 58,582 kematian.

“Kemalangan maut motosikal adalah tiga kali lebih tinggi daripada kereta, enam kali lebih tinggi daripada pejalan kaki dan hampir 50 kali lebih tinggi daripada kematian penumpang bas.

“Kenaikan bahan api yang diumumkan 1 Oktober lalu adalah langkah tidak bertanggungjawab yang membebankan golongan berpendapatan rendah,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Tambah Chin Tong, kesan berganda dari kenaikan harga bahan api lebih dirasai menjelang penguatkuasaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Kementerian Kewangan sebelum ini turut mengakui berlakunya ‘rasionalisasi subsidi’ dan peningkatan inflasi pada tahun pertama pelaksanaan GST dan Ujar Chin Tong selain inflasi, ekonomi Malaysia bertambah lembab apabila pendapatan boleh guna rakyat Malaysia berkurangan, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan cukai GST dan kenaikan harga bahan api yang memperlahankan permintaan domestik.

Justeru kata Chin Tong, berbanding negara-negara lain di mana perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap disediakan, kenaikan harga petrol seharusnya menggalakkan pemandu kereta persendirian untuk beralih kepada pengangkutan awam.

“Walaubagaimanapun dalam kes Malaysia, setiap kali berlaku kenaikan bahan api, bermakna lebih banyak kematian di jalan raya,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: