Rabu, 22 Oktober 2014

Membangun Bersama Islam lonjak pentadbir Kelantan

SALMAH MAT HUSAIN 


KOTA BHARU: Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang digembleng kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan ulama sejak 24 tahun lalu turut memberi kesan kepada jentera pentadbiran kerajaan.

Anugerah tertinggi diterima iaitu Penganugerahan Taraf  Lima Bintang Dalam Pelaksanaan Penilaian Star Ranting pada 9 Oktober lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata, kerajaan negeri dianugerah Sijil Pengiktirafan Agensi Bertaraf 5 Bintang Negara.

“Ia merupakan pengiktirafan yang paling tinggi diberikan kepada pejabat kerajaan negeri seluruh negara oleh kerajaan Persekutuan,” katanya pada sambutan ulang tahun ke-24 dasar MBI di KTC hari ini.

Teks ucapannya dibaca Pegawai Kewangan Negeri Datuk Nik Kazim Nik Yusof.

Mohd Faudzi berkata, beberapa anggota perkhidmatan awam negeri turut menerima anugerah peringkat persekutuan.

Selain itu penyediaan penyata kewangan dan pengurusan Pejabat Setiausaha Negeri Kelantan turut menerima penarafan empat bintang bagi 2013.

Anugerah itu paling tinggi dalam pengurusan kewangan di negara ini.

“Saya yakin dengan kesungguhan yang ditunjukkan kakitangan semua jabatan dan agensi. Tahun ini lebih banyak lagi jabatan negeri akan mencapai taraf empat bintang dalam indeks akauntabiliti pengurusan kewangan.

“Ini hasil penerapan nilai Islam dan dasar MBI diutamakan dalam gerak kerja pentadbiran,” ujarnya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: