Ahad, 26 Oktober 2014

MCA ikrar rampas 9 kerusi DUN di Johor

MALAYSIAKINI


 


Faktor kembalinya sokongan pengundi Cina kepada BN akhir-akhir ini memberikan keyakinan kepada MCA untuk merampas kembali sembilan kerusi DUN Johor, yang ia tewas pada pilihan raya umum 2013 (PRU13), daripada pembangkang.
  
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong yang juga timbalan presiden MCA berkata parti itu akan meningkatkan jenteranya bagi mempertahan dua kerusi DUN Johor yang dimenanginya pada PRU13 iaitu Paloh dan Pulai Sebatang.
  
"Beberapa pilihan raya kecil sebelum ini seperti Parlimen Teluk Intan dan DUN Kajang menunjukkan sokongan pengundi Cina sudah kembali kepada BN," katanya pada sidang media selepas merasmikan pejabat MCA Bahagian Johor Baharu hari ini.
  
Pada pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan 31 Mei lepas, Wee berkata sokongan pengundi dalam kalangan masyarakat Cina terhadap BN mencatatkan peningkatan 14.5 peratus berbanding pada pilihan raya umum sebelumnya.
  
Analisis MCA juga menunjukkan trend sama di mana sokongan pengundi Cina pada pilihan raya kecil DUN Kajang juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Berikutan trend peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap BN, beliau berkata MCA akan melipatgandakan usaha untuk merampas kembali sembilan kerusi DUN yang majoriti undi kemenangan pembangkang adalah di bawah 10 peratus.
  
Antara kerusi berkenaan ialah Stulang, Parit Yaani, Johor Jaya dan Mengkibol, kata Wee yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam itu.
  
Selain itu, katanya parti komponen BN akan merangka strategi bagi mempertahan empat kerusi Parlimen dan merampas semula empat kerusi lain termasuk Gelang Patah yang dimenangi pembangkang tahun lepas.
  
Selain Ayer Hitam, kerusi Parlimen milik MCA ialah Labis, Tebrau dan Tanjung Piai.
  
Anggota Parlimen Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad, yang turut hadir pada majlis itu, berkata BN mempunyai peluang yang baik untuk merampas semula Parlimen Gelang Patah yang kini disandang oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang.
  
Johor mempunyai 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN.-Bernama

Tiada ulasan: