Jumaat, 24 Oktober 2014

MB: Lebih RM700,000 baiki kerosakan di Pandamaran

MALAYSIAKINI




 
 
 
Kerajaan Selangor bersetuju untuk membaiki kerosakan rumah di dua kampung dan flat serta jeti akibat ribut taufan di Pandamaran, Klang Selasa lalu dianggarkan mencecah sehingga RM753,000.

Kejadian angin kencang itu merosakkan rumah penduduk di Kampung Pandamaran, Kampung Pandamaran Jaya, flat PKNS Pandamaran Jaya dan flat Pandamaran Permai Indah dan jeti nelayan Pandamaran di Sungai Aur.

Dalam kenyataannya, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor bersetuju membaik pulih bumbung dan mengganti tangki air di flat Pandamaran Permai Indah.

"Kos pembaikan untuk kerja-kerja ini melibatkan kos RM600,000," katanya selepas mesyuarat exco yang bersidang semalam meneliti maklumbalas Majlis Perbandaran Klang dan Pejabat Daerah dan tanah Klang mengenai bencana itu.

Azmin berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pula akan menampung kerja-kerja pembaikan di flat PKNS Pandamaran Jaya yang dijangka siap esok.

Sementara Pejabat Daerah dan Tanah Klang bersama Lembaga Urus Air Negeri Selangor (LUAS) pula akan membina semula jeti nelayan Sungai Aur yang dianggarkan mencecah RM30,000.

Malah, Majlis Perbandaran Klang juga akan membersihkan sisa runtuhan, sampah sarap, pemotongan dan pembersihan pokok-pokok yang tumbang akibat bencana angin kencang itu dengan kos dianggarkan RM73,000.

"Kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan sumbangan saguhati untuk membaikpulih kerosakan yang melibatkan kerangka kayu dan penggantian bumbung bagi lebih 40 buah rumah mengikut tahap kerosakan yang akan dinilai oleh Pejabat Daerah dan Tanah Klang.

"Kos untuk maksud ini dianggarkan berjumlah RM50,000," katanya yang juga ADUN Bukit Antarabangsa.

Pada Selasa lalu, ribut taufan melanda Pandamaran mengakibatkan kira-kira 40 buah rumah mengalami kerosakan.

Sebelum itu, pada 14 Oktober lalu, angin puting beliung melanda Pendang, Kedah yang merosakkan lapan buah rumah dan menumbangkan beberapa batang pokok.
 

Tiada ulasan: