Khamis, 23 Oktober 2014

MB: Bantuan baik pulih ribut di Pandamaran diumum esok

Oleh: Naeem Raffi


PANDAMARAN : Kerajaan Negeri akan mengumumkan bentuk bantuan membaik pulih kerosakan kediaman dalam kejadian ribut di sini, seawal tengah hari esok.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pihaknya akan meneliti laporan penuh daripada Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) terlebih dahulu sebelum keputusan bantuan dapat diputuskan dalam mesyuarat exco pagi esok.

67315_856540407710042_4954818055385738557_n


“Pejabat Daerah dan MPK perlu mengemukakan laporan seawal pagi esok untuk dibentangkan dalam mesyuarat exco dab kita akan teliti apakah keperluan yang sewajarnya diberikan kepada mangsa.

“Keputusan kita, kerja membaik pulih ini perlu dilakukan segera,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika melawat Pamgsapuri PKNS di Pandamaran Jaya di sini, petang tadi.

Beliau turut melawat Pangsapuri Permai Indah, Kampung Pandamaran dan Jeti Sungai Aur yang terkesan teruk dalam kejadian jam 2 petang semalam.

Hadir sama Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abd Samad, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Adun Pandamaran, Tan Pok Shyong.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya hari ini berkata kejadian puting beliung itu berpunca dari ketidakstabilan atmosfera.

Kejadian yang berlaku selama 30 minit itu menyaksikan pusaran angin terbentuk sejurus hujan melanda sebelum menerbangkan bumbung beberapa kawasan kediaman di wilayah itu.

Kejadian turut mengakibatkan beberapa kawasan di Jalan Banting dan Jalan Besar Pandamaran rosak teruk dengan kes pokok tumbang dan beberapa buah rumah dilaporkan rosak.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata bumbung lima pangsapuri PKNS yang rosak akan siap sepenuhnya menjelang Jumaat depan.

“Tindakan proaktif dari PKNS sejak petang semalam membaik pulih bumbung yang terbang ditiup angin amat dipuju dan kerja membaik pulih dijangka siap Jumaat ini.

“Tetapi bagi Pangsapuri Permai Indah ada sedikit masalah kerana Jawatankuasa Penduduknya tidak ada kemampuan kewangan untuk baikpulih bumbung kerana kosnya tinggi.

“Jadi Kerajaan Negeri akan tanggung kos tersebut dan ia akan diputuskan dalam mesyuarat exco esok,” katanya.EZY

Tiada ulasan: