Khamis, 23 Oktober 2014

'Masalah kami prasarana, bukan Robin Hood'

MALAYSIAKINI


 


ADUN Kuala Sepetang Chua Yee Ling menyatakan menyatakan kekesalannya terhadap laporan berturut-turut Utusan Malaysia berhubung dakwaan kegiatan haram dikawal mafia di Kuala Sepetang, Perak.

Beliau malah menegaskan masalah utama Kuala Sepetang bukan jenayah, sebaliknya kemudahan infrastruktur dan prasarana awam.

"Selepas (laporan) mafia bermaharajalela, sekarang Robin Hood berkuasa, saya tidak pasti apa laporan lagi yang akan dibuat oleh Utusan Malaysia.

“Spekulasi dan dakwaan yang tanpa berasas ini bukan sahaja tidak profesional, tetapi agak melucukan.

"Penduduk-penduduk di Kuala Sepetang juga berasa tuduhan Robin Hood ini tidak masuk akal," kata beliau.

Utusan melaporkan beberapa siri pendedahan dan rencana khas sejak Sabtu lalu dengan tajuk “Mafia Kuala Sepetang Bermaharajalela” .

Penduduk lapor polis

Sehari selepasnya pula dengan tajuk “Di Sebalik Wajah Polos Kuala Sepetang”, dan hari ini sekali lagi tajuk muka depan akbarnya dengan tajuk “Robin Hood Berkuasa?”

Ia menceritakan kegiatan jenayah yang berlaku di bandar kecil yang popular dengan hasil laut dan pelancong di samping memberi fokus seorang lelaki 60-an yang dikatakan dalang.

 





Lelaki itu bagaimanapun dilapor menderma sebahagian hasil kegiatan jenayahnya kepada golongan miskin, malah dianggap seperti 'wakil rakyat' di situ.

Digambarkan seperti mafia, Utusan melaporkan kumpulan itu kebal daripada tindakan penguatkuasa walaupun menteri dalam negeri sudah mengeluarkan arahan gempur habis-habisan.

Ketua Kampung Kuala Sepetang semalam melaporkan kepada polis Perak dan mendakwa laporan tersebut tidak benar.

The Star turut melaporkan pemangku timbalan ketua polis Perak Datuk A Paramasivam menafikan artikel tersebut dan berkata Kuala Sepetang adalah bandar yang aman serta perkataan 'mafia' itu terlalu kasar.

Tiada ulasan: