Jumaat, 24 Oktober 2014

Lima maut dalam kemalangan di Kota Tinggi

MALAYSIAKINI


Lima maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di KM61.2, Jalan Johor Bahru-Mersing, di Kota Tinggi malam tadi.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Low Hang Seng berkata mangsa yang terbunuh adalah pemandu dan penumpang kereta Perodua Kenari iaitu Rosmah Muda, 28, dan adiknya Fatimah, 24, serta pemandu dan penumpang Poton Wira iaitu Mohamad Shafie Pecek, 21, Mohamad Fayad Abdul Rahman, 21 dan Mohd Nizam Hassan, 29.
  
"Mangsa yang cedera parah pula adalah Nur Shafiqah, 14, yang merupakan adik kepada Rosmah dan Fatimah. Dia kini dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT)," katanya ketika dihubungi hari ini.
  
Low berkata kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 10.40 malam apabila Proton Wira yang dinaiki Mohamad Shafie, Mohamad Fayad dan Mohd Nizam dari arah Kota Tinggi menghala ke Mersing itu berlanggar dengan Perodua Kenari yang datang dari arah bertentangan.
  
Difahamkan, ketiga-tiga sahabat itu dalam perjalanan pulang ke Felda Tenggaroh, di Kota Tinggi selepas menjamu selera di bandar Kota Tinggi.

Tiga beradik perempuan yang beralamat di Jalan Haji Arifin, Endau, Mersing, itu pula dalam perjalanan bagi tugasan mengandam pasangan pengantin di Felda Air Tawar 3, di Kota Tinggi.
  
Katanya, berikutan perlanggaran itu Rosmah, Fatimah dan Mohamad Fayad mati di tempat kejadian manakala Mohamad Shafie dan Mohd Nizam meninggal dunia di HKT.

Kesemua mayat dibawa ke HKT untuk bedah siasat. - Bernama

Tiada ulasan: