Isnin, 27 Oktober 2014

Keputusan kes Mejar Zaidi dijangka petang ini

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tentera dijangka akan memutuskan sama ada wujud prima facie terhadap kes Pegawai Kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad jam 2 petang ini.

Menurut kenyataan Bersih 2.0 keputusan itu dibuat di Kompleks Mahkamah Tentera, Pangkalan TUDM Sungai Besi.

Mejar Zaidi dari Pangkalan Udara Butterworth mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan media di dua tempat pada dua masa yang berlainan untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kegagalan dakwat kekal yang digunakan dalam undian awal Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Beliau juga didakwa menyiarkan maklumat rasmi berupa kawat tumpangan keluar kepada pihak media tanpa mendapat kelulusan. Menurut pertuduhan tersebut, isu itu seharusnya disiasat melalui TUDM dan memerlukan kebenaran Kementerian Pertahanan.

Mejar Zaidi didakwa mengikut Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 yang membawa hukuman maksima penjara dua tahun atau mana-mana lebih ringan, termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat.

Peguambela dan pendakwaraya telah memberi hujahan penggulungan pada 20 Oktober lalu. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: