Kanak-kanak berusia empat tahun yang tersepit kepalanya di celah besi katil. Kanak-kanak berusia empat tahun yang tersepit kepalanya di celah besi katil.
 
 
BANDARAYA MELAKA - Anggota bomba dan penyelamat terpaksa menenangkan seorang kanak-kanak empat tahun sebelum berusaha mengeluarkan kepalanya yang tersepit di celah besi katil semalam.

Dalam kejadian berkenaan, anggota bomba menggunakan ‘bolt cutter’ untuk memotong besi katil bagi mengeluarkan kepala Muhammad Amirul Syahir Amir Hamzah yang tersepit di celah dua batang besi.

Muhammad Amirul Syahir dikatakan sedang bermain dengan abangnya di dalam bilik berkenaan ketika kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 petang di kediaman mereka di Balai Panjang di sini semalam.

Menurut ibu kanak- kanak berkenaan, Rafidah Anuar,  33, dia hanya menyedari kejadian itu selepas mendengar anak bongsunya itu memanggil.

Menurutnya, dia yang ketika itu sedang berada di dapur, menjenguk ke dalam bilik dan terkejut melihat kepala  anaknya tersepit di antara dua besi katil.

Katanya, dia cuba meregangkan dua batang besi itu dalam usaha melepaskan anaknya tetapi gagal.

“Saya tidak menyangka mereka berdua akan bermain di dalam bilik kerana sebelum kejadian, mereka sedang leka menonton televisyen.

“Tilam katil itu sudah saya buang sejak lima bulan lalu dan semenjak itu mereka tidak pernah bermain di situ,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penguasa Kanan Bomba Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, anggota bomba dan penyelamat yang dikejarkan ke tempat kejadian memotong besi katil  menggunakan ‘bolt cutter’ bagi membebaskan kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan  Penyelamat Jalan Kubu dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima laporan kira-kira jam 3 petang semalam.