Rabu, 22 Oktober 2014

Kepala bangkai penyu ditemui diikat tali

SINAR HARIAN


Foto hiasan Foto hiasan
 
 
DUNGUN - Bangkai seekor penyu agar betina dewasa yang telah reput dan berbau ditemui terapung di perairan Pulau Redang dekat sini, Ahad lepas.
 
Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Abdul Khalil Abdul Karim berkata, bangkai penyu itu dijumpai oleh penguatkuasa perikanan semasa mengadakan rondaan di kawasan berkenaan.
 
"Di kepala penyu tersebut diikat tali dipercayai untuk ditenggelamkan penyu tersebut supaya tidak diketahui pihak berkuasa," katanya, semalam.
 
Menurutnya punca kematian haiwan itu mungkin kerana tersangkut pada pukat dan penyu tersebut ditangkap dan diikat kepalanya serta ditenggelamkan ke dalam laut.
 
Abdul Khalil berkata, pihaknya merasa kesal kerana penyu itu dibunuh dengan begitu kejam.
 
Dalam kejadian lain beliau berkata bangkai seekor penyu yang belum dewasa ditemui mati terdampar di kawasan pantai Pulau Kapas, Marang pada 2 Oktober lepas dan punca kematian tidak diketahui.
 
Abdul Khalil juga menambah, kadar kematian penyu di Terengganu dalam tahun ini agak membimbangkan dan mengikut rekod sehingga 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 39 ekor penyu dijumpai mati berbanding 42 ekor sepanjang tahun lepas. - Bernama

Tiada ulasan: