MALAYSIAKINI
Ratusan hadirin hari ini hadir pada acara “I Want to Touch a Dog” –
sebuah acara bagi membantu orang ramai terutamanya yang beragama Islam
untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing.
Acara yang bermula pada jam 8 hingga 10 pagi di Central Park, Bandar
Utama itu turut memberi peluang kepada orang ramai yang beragama Islam
untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan
berkenaan.
Sebelum
acara menyentuh anjing bermula, sebuah forum mini oleh penceramah
antaranya seorang ustaz, seorang pemandu teksi berbangsa Melayu yang
berpengalaman mengendalikan anjing serta doktor haiwan diadakan.
Dalam forum tersebut, hadirin diberi peluang untuk bertanyakan pelbagai soalan dan kemusykilan berhubung haiwan tersebut.
Selepas itu, mereka juga diberi taklimat dan diajar untuk melakukan
sertu dengan cara yang betul sekiranya terdapat hadirin yang was-was
atau memegang anjing dalam keadaan basah.
Selain menyentuh anjing, acara julung kali yang turut disertai oleh
pelbagai lapisan masyarakat itu juga memberi peluang kepada hadirin
untuk mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan haiwan berkenaan.
Ajar cara samak
Terdapat juga ibu-bapa beragama Islam membawa anak-anak mereka ke acara
itu bagi memberi pendedahan dan menyentuh haiwan berkenaan.
Bagi penganjur acara berkenaan, Syed Azmi Alhabshi berkata, beliau
gembira dengan sambutan menggalakkan yang diterima pada hari ini.
Katanya, objektifnya untuk mengadakan acara ini juga tercapai apabila rata-rata yang hadir memberi respon positif kepadanya.
"Sambutan
amat menggalakkan. Walaupun acara ini hanya dua jam, tapi rasanya ia
amat mencukupi. Saya rasa bagus dan objektiftercapai. Apa yang penting
kita dapat tengok masyarakat yang majmuk saling membantu.
"Hari ini juga ramai orang Islam yang hadir dan mereka rasa selesa sebab mereka tak was-was dan kita ada ajar cara nak sertu (samak) dan pemilik anjing pun ada bersama. Sebenarnya apa yang penting ialah ilmu pengetahuan," katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, seorang pengunjung, Aimi Syafiqah Ghazali, 23, berkata,
acara tersebut merupakan sebuah acara yang bagus kerana dapat memberi
kesedaran dan membuang pemikiran negatif yang mengatakan anjing tak
boleh dipegang.
'Islam itu mudah'
Katanya, apa yang paling penting bagi masyarakat kini ialah ilmu dan pengetahuan berhubung haiwan berkenaan.
"Bagi saya acara ini bagus. Biasanya orang Islam di Malaysia ini
skeptikal. Itu tak boleh. Ini tak boleh. Tetapi acara ini menyedarkan
bahawa Islam itu mudah.
"Saya rasa kita kena buang pemikiran yang begitu. Acara ini satu
permulaan yang bagus dan harap akan dibuat lagi acara seperti ini di
tempat lain," katanya.
Bagi Siti Khadijah Samsudin, 22, dia turut berpendapat, acara tersebut
perlu diadakan lagi untuk mendidik masyarakat Islam supaya memupuk rasa
sayang walaupun terhadap anjing.
"Acara ini sangat berguna kepada orang Islam untuk mendidik kita supaya
bertanggungjawab kepada haiwan walaupun ianya haram. Kita juga
sebenarnya kena saling menyayangi dengan makhluk yang lain," katanya.
Abdullah Fauzi Samsudin, 31, pula berkata, acara tersebut juga
bermanfaat untuk mendidik orang Islam supaya tidak lagi takut untuk
memegang anjing dan membuang persepsi negatif terhadap haiwan berkenaan.
"Acara ini bermanfaat untuk didik kita. Walaupun anjing ini najis tetapi
dia binatang yang sangat mesra. Cuma ada cara untuk pegang dan kita
juga sebenarnya boleh memegang anjing jika ia kering. Tak perlu untuk
disertu," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan