Isnin, 27 Oktober 2014

[KEMASKINI] Anwar, Azizah tiba beberapa minit selepas pagar UM tumbang dirempuh mahasiswa

Oleh Shuhainiza Said
Post Pic



BANGSAR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Universiti Malaya (UM), beberapa minit selepas pagar utama institusi itu tumbang dirempuh gerombolan mahasiswa.

Mereka kini diarak dengan pacuan empat roda menuju ke Dataran Tunku Canselor (DTC), yang terletak dalam kampus tersebut.Turut kelihatan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM),  Fahmi Zainol.



Terdahulu, gerombolan mahasiswa itu bersorak gembira apabila berjaya menumbangkan pagar utama UM sekaligus membolosi kawalan keselamatan di perkarangan UM.

Pasukan keselamatan UM dilihat langsung tidak berkompromi dengan tuntutan mahasiswa walaupun diprovok mahasiswa yang berhimpun sejak Maghrib tadi.



Terdahulu, pihak keselamatan berjaya memujuk beberapa mahasiswa yang enggan keluar daripada perkarangan kampus UM.

Kawalan keselamatan UM juga dilihat amat ketat sehingga menyukarkan usaha mahasiswa itu melepasi pagar utama institut pengajian tinggi awam  (IPTA) itu.



Turut kelihatan ADUN Kuala Sepetang Chua Yee Ling, ADUN Rawang Gan Pei Nie, Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shahrin, aktivis siswa Safwan Anang dan pensyarah Dr Azmi Sharom sebagai pemantau.

Tinjauan wartawan Antarapos mendapati jalan menghala ke Bangsar sesak teruk akibat kenderaan peserta yang hadir pada Pidato Anwar Ibrahim, '40 Tahun Daripada Ke Penjara', diletakkan di sepanjang bahu jalan di luar kampus itu.

Pidato ini adalah yang terakhir bagi Ketua Umum PKR itu, sekiranya Mahkamah Persekutuan pada Rabu memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.
 

Tiada ulasan: