Jumaat, 17 Oktober 2014

Kebimbangan wacana Islam masa depan

MALAYSIAKINI


 


Pendebatan antara wacana Islam progresif dan Islam murni adalah perkembangan pendebatan yang sering menuntut penjelasan.

Sebagai contoh, perkembangan dua kelompok aliran ini yang berpusat kepada pendebatan permasalahan Al-Quran dan Sunnah dan bagaimana wacana tersebut harus dihidupkan.

Fenomena pendebatan kelompok aliran yang menuntut kepada pemurniaan teks suci Quran ini secara tidak langsung ia akan menuntut kepada pentakrifan idea 'al-ruju’ (kembali) iaitu merujuk kepada Quran dan Sunnah yang boleh menghasilkan dua pandangan keagamaan yang saling berlawanan iaitu regresif dan progresif.

Kebimbangan ini bagaimana menarik untuk melihat perkembangan yang terjadi di Indonesia khususnya antara kaitan langsungnya wacana demokrasi dan bagaimana idea progresif itu berkembang kemudian telah dinyahkan melalui pendekatan perkembangan wacana idea konservatif.

Sebagaimana kerisauan ini, perkara ini telah menuntut salah seorang pengkaji di Indonesia Martin van Bruinessen menjelaskan perkembangan ini terjadi setelah perubahan iklim politik akhirnya menuntut wacana yang mengembalikan kembali idea konservatif daripada permulaan wacana konservatif.

Kemudian dipindahkan perkembangan ide Islam liberal dan progresif lalu titik akhir mengembalikan balik idea konservatif itu bermula ketika sekitar tahun 2005.

Inilah fenomena wacana idea yang berlaku kepada Muslim Indonesia sehingga pendukung kelompok wacana Islam progresif atau liberal ini ditolak dan difatwakan sesat haram oleh Majlis Ulama Indonesia (MUIN) bahawasanya idea tentang sekularisme, pluralisme, dan liberalisme ini agama yang bertentangan dengan Islam.

Perkara ini dinyatakan beliau adalah pertembungan tentang konflik perkembangan kontemporari Islam Indonesia dan kembalinya konservatif awal abad 21.

Kelompok yang mendakwa membawa idea Islam murni ini seringkali mengutuk dan memberi ancaman dengan mengambarkan idea yang bertentangan mereka ini dianggap sebagai virus atau perosak.

Gambaran ini ditujukan kepada kaum liberal yang membawa ajaran yang bertentangan oleh mereka iaitu kaum yang menjaga kebelangsungan metod klasik dalam pentafsiran Quran dan mempertahankan superioriti Islam.

Penguasaan puak konservatif

Penentangan mereka kepada idea sekularisme dan pluralisme ini membuktikan wacana di masa hadapan Islam amat membimbangkan di nusantara bagaimana idea ini berkembang di Malaysia bahawa kelompok konservatif ini sering menguasai kuasa, wacana dan memberi ancaman kepada ajaran yang bertentangan baginya.

Menurut Bassam Tibi, seorang intelektual yang terkenal kelantangannya perihal wacana Islamis, bahawasanya kegagalan kelompok ini iaitu lebih tepat menurutnya kaum fundamentalis seperti yang dibahaskannya dalam tulisannya, 'The Challenge of Fundamentalism Political Islam and The New World Disorder' adalah disebabkan kegagalan kelompok tersebut dalam memahami pentakrifan dan penggunaan istilah makna seperti sekularisme dalam keadaan perkembangan masyarakat muslim hari ini.

Baginya lagi, kelompok ini sering membentuk wacana yang membentuk yang berpaksikan politisasi agama dalam keadaan wacana yang memberi kepentingan tujuannya.

Menurutnya lagi, sekularisasi akan menjadi masalah apabila hanya difahami melalui marginalisasi agama dalam kehidupan harian iaitu kewujudannya melemahkan lembaga keagamaan dalam masyarakat.

Tetapi sebaliknya, Bassam Tibi mengetengahkan konsep sekularisasi itu sebagai proses pengembangan sosial iaitu wujud asasnya pemberian autonomi yang lebih luas terhadap keghairahan perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi.

Baginya lagi, perkembangan ini membentuk peradaban yang berkehadapan iaitu islam harus didepolitisasi dan menerima kemajmukan intelektual dan sekularisme.

Muhammad Arkoun juga dalam lewat wacana sekularisasi dalam perkembangan ini mengkritik bahawa ia akan mengembalikan warna Islam itu berbentuk ortodok atas pengertian iaitu melindungi diri dari dominasi hegemoni barat lalu mengembangkan ajaran Islam yang sempit, eksklusif dan kekerasan.

Ketidakmampuan kelompok konservatif ini dalam berhadapan kemajmukan intelektual dan persoalan masa kini memberi kesan besar terhadap proses pengembangan wacana kemajmukan yang berlaku.

Ulil Abshar Abdalla, sarjana dan pendiri Jaringan Islam Liberal (JIL) yang kontroversi telah dihalang untuk berdiskusi dibimbangi membawa aliran yang bertentangan  yang dianggap boleh mengundang kepada ajaran Islam liberal.

Risau yang perlu dicermati

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Ulama Malaysia bertindak membantah kehadiran Ulil Abshar yang diundang untuk berdiskusi. Perkembangan ini bukanlah perkara baru yang disuarakan Jakim dalam membantah diskusi dan kebebasan bersuara.

Ada sisi kerisauan yang perlu dicermati dalam menghadapi situasi begini. Ini harus dicermati sebagaimana yang terdapat dalam renungan yang mustahak argumen diskusi akal dan pengetahuan di mana telah diperdebatkan oleh Ziauddin Sardar dalam karyanya Reading The Quran: The Contemporary Relevance of The Sacred Text of Islam.

Menarik untuk dicatat renungan diskusi ini bagaimana beliau telah mentafsirkan bahawasanya Quran sentiasa digandingkan bersama konsep "mendengar" melalui penelitiannya dalam surah al-Mulk ayat ke-10 yang bermaksud:

Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka."

Menurut Ziauddir Sardar lagi, bahawa setiap argumen bernalar memiliki kontra argumen iaitu kefahaman datang tidak hanya melalui penalaran. Tambahnya lagi, kita juga di tuntut mendengarkan kontra argumen (hujah balas atau sanggahan) dan mempertimbangkannya dalam proses penalaran.

Ini menunjukkan bahawa kefahaman sejati bukanlah hanya menuntut kepada penghujahan yang satu hala tanpa didasari konsep berfikir, melihat dan mendengar sehingga dicapai di dalam hati untuk berfungsi.

Maka menurut al-Quran, betapa pentingnya pengetahuan didapati melalui diskusi dan mendengar argumen pihak lain lewat kritik, autokritik dan kontra kritik.

Mengambil pengajaran Indonesia, sememangnya kita di Malaysia polemik menuju kepada ketegangan antara kaum dan agama semakin menjadi-jadi dan kebebasan bersuara semakin dihalang.

Mengenali MUI di era pasca Soeharto, yang menampilkan imej Islam dalam bentuk 'moderat puritan’ iaitu yang berpegang kepada aliran ortodoksi Sunni sehingga dekad terakhir telah mengalami perubahan penafsiran yang lebih puritan dan lebih literalis.

Pergeseran wacana Islam, MUI

Menuju Islam yang puritan ini hasil daripada perkembangan wacana yang terjadi dalam MUI akhirnya membawa kepada penjelmaan kuasa kawalan Islam di Indonesia.

Keterlibatannya dalam wacana publik di fasa transisi MUI ini begitu merisaukan bagi kaum liberalis ini untuk mendapat tempat dalam wacana ruang awam.

Di fasa transisi ini perubahan wacana MUI tidak lagi tertumpu kepada pemerintahan sebaliknya menfokuskan hal-hal fundamentalis agama dalam ranah awam di mana inilah titik tolak kepada keberadaan aliran konservatif dan puritan agama ini.

Pergeseran wacana dan aktiviti MUI ini harus dilihat latar belakangnya bagaimana aliran radikali islam berkembang selepas mundurnya Soeharto, sebagai contoh Front Pembela Islam (FPI) iaitu gerakan fundamentalisme yang obsesi dalam memberlakukan syariat islam dan penolakannya secara hitam putih terhadap hal yang berasal dari barat.

Mereka berusaha menerapkan konsep ajaran Islam secara menyeluruh tetapi gagal memahami metod dan pemahaman mereka dalam teks agama begitu sempit. Kefahaman sempit dalam memaknai ayat Quran membuktikan kegagalan FPI dalam bersikap adil dan kompromi dengan agama lain.

Hai ini bukanlah perkara yang baru kepada muslim nusantara antara Indonesia dan Malaysia, malah semenjak tentangan pihak yang mencabar autoriti keagamaan dan pengamalan Islam di Malaysia telah menyaksikan kemunculan idea konservatif ini semakin mendapat tempat dalam wacana kekuasaan politik Malaysia.

Para konservatif muslim Malaysia masih mengambil jalan kekerasan dan sekatan untuk melumpuhkan segala aktiviti intelektual yang menggugat autoriti aliran agama majoriti.

Pemerintah masih tidak berani dalam menghadapi ancaman lewat perbezaan aliran sebegini. Kerisauan begini, seharusnya kita cermati untuk tidak menjadikan muslim Malaysia terus dalam keadaan tertutup menerima perbezaan.

Politik ortodok yang menghalang kebebasan bersuara dan menyekat segala aktiviti dialog dan intelektual adalah bukan dari sifat muslim yang baik. Masa hadapan muslim progresif dan idenya tetap mesti diteruskan dalam membangun muslim peradaban yang tidak membawa kepada muslim radikal.

Kepecayaan agama didasarkan kepada pilihan bukan keyakinan buta mahupun kepercayaan tradisi sebaliknya Islam itu berkembang melalui idea progresif yang menuntut keadaan zaman.




(*) MOHD SYAZREEN ABDULLAH   aktivis Lingkaran Islam Traditional (LIT).

Tiada ulasan: