Jumaat, 17 Oktober 2014

Kalau tak tahu undang-undang tanyalah peguam, kata Kula kepada Khairy

m_kulasegaran

Roketkini.com


IPOH,: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sepatutnya bertanya kepada peguam jika tidak faham undang-undang dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang angkuh, pesan Naib Presiden DAP M Kula Segaran.

Beliau mengulas ‘tweet’ Khairy berhubung acara ‘Berjalan demi Keadilan’ anjuran Majlis Peguam semalam bagi menuntut kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang menjadi senjata menyerang ahli politik dan aktivis.

Meremehkan acara itu Khairy berkata, gerakan menuntut pemansuhan akta zalim itu tidak akan mendapat sokongan kerana tidak menawarkan perlindungan kepada rakyat terhadap ucapan yang dilihat melampau.

Kata Kula, Khairy sepatutnya tahu bahawa negara mempunyai undang-undang yang cukup untuk menangani ucapan melampau dan menyeru kebencian.

“Jelas ada sesuatu yang salah apabila kerajaan bukan sahaja tidak menunaikan janji untuk memansuhkan akta itu, malah ia menjadi senjata menyerang pihak yang mengkritik kerajaan.

“Tetapi menteri lepasan Universiti Oxford ini gagal mengaku, atau memilih untuk tidak mengakuinya. Semalam, beliau meremehkan acara itu.

“Jika benar beliau tidak tahu undang-undang, tanyalah peguam. Bukannya bercakap seolah-olah beliau adalah pakar,” katanya yang juga seorang peguam.

Pagi semalam, ratusan peguam lengkap berpakaian sut berhimpun di Padang Merbok, Jalan parlimen dan berarak ke Bangunan Parlimen.

Pengerusi Majlis Peguam Christopher Leong bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong dan menyerahkan memorandum, menuntut Datuk Seri Najib Razak menunaikan janjinya dua tahun lalu untuk memansuhkan akta tersebut.

Kula yang turut hadir semalam dalam himpunan itu berkata, akta tersebut adalah ‘barah’ yang ditinggalkan penjajah British lebih 50 tahun lalu.

“Akta Hasutan sudah tidak relevan lagi. Ia perlu dimansuhkan kerana hanya menjadi senjata kepada kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara dan menyerang pengkritik kerajaan,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: