Roshdan Rafie Roshdan Rafie
 
 
SHAH ALAM - Tindakan Kerajaan Negeri Kelantan untuk menguatkuasakan hukuman kepada lelaki Islam yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali disokong Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Timbalannya, Roshdan Rafie, berkata, dalam Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 sendiri telah memperuntukkan denda sebanyak RM1,000 serta penjara selama setahun bagi kesalahan berkenaan.

“Tidak ada masalah bagi Kelantan untuk menguatkuasakan undang-undang ini dalam masa terdekat,” katanya, semalam.

Menurutnya, masyarakat perlu mengubah perspektif negatif berhubung hukuman seperti dinyatakan dalam enakmen itu kerana sebarang hukuman yang bakal dikenakan mengikut prosedur betul.

“Bila mendengar dipenjarakan selama setahun, semua ingat bila ditangkap terus dimasukkan dalam penjara. Itu semua tanggapan salah. Sebelum dikenakan hukuman, individu yang didapati bersalah boleh mengemukakan bukti dan membela diri.

“Undang-undang ini tegas tetapi tidak kejam kepada orang Islam kerana dalam agama Islam telah dinyatakan tentang kesalahan serta dosa orang yang meninggalkan solat Jumaat ini,” katanya.

Roshdan berkata, negeri-negeri lain perlu menjadikan contoh dalam menguatkuasakan undang-undang Islam.

“Kita lihat sendiri apabila hari Jumaat, lelaki Islam ramai di pusat beli belah dan kedai-kedai makan tanpa segan silu tidak menunaikan kewajipan menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Ketika diminta mengulas tindakan kumpulan peguam Lawyers for Liberty yang menyatakan tindakan Kerajaan Kelantan itu bertentangan dan melanggar perlembagaan negara berkaitan kebebasan individu, Roshdan berkata, peraturan dalam Islam tidak patut dipertikaikan tanpa memahami agama itu.

“Jangan cuba menjadikan agama sebagai bahan politik... Islam itu mudah dan tidak menindas umatnya,” katanya.