Rabu, 29 Oktober 2014

Insiden tolak menolak kerana polis enggan benarkan himpunan

Oleh: Lyn Nasir



KUALA LUMPUR : Insiden tolak menolak yang berlaku di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya hari ini disebabkan tindakan polis yang enggan membenarkan penyokong Datuk Seri Anwar berhimpun lebih dekat dengan perkarangan Mahkamah Persekutuan.

Penyokong Anwar berkumpul di seberang Istana Kehakiman seawal jam 7 pagi iaitu kira-kira 300 meter daripada mahkamah, lebih jauh daripada kedudukan mereka semalam.

Ekoran itu berlaku kekecohan apabila penyokong cuba merempuh pagar yang dipasang di sekeliling perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad bersama Naib Presiden, Tian Chua kemudian memasuki pagar berkenaan untuk berjumpa pihak polis bagi meminta kebenaran berhimpun. Bagaimanapun permohonan mereka ditolak.

Ketika penyokong menolak halangan, kira-kira 50 anggota polis dilihat menahan pagar berkenaan daripada terus dirempuh.

Bagaimanapun Nik Nazmi cuba mententeramkan mereka dan keadaan kembali terkawal apabila Tian Chua berucap di atas sebuah lori pikap kepada mereka yang hadir.

“Tadi saya minta untuk berada berdekatan dengan mahkamah. Hari ini kita lagi jauh. Hari ini kita diarah untuk berada di belakang sini. Kita minta supaya kita berada di depan mahkamah untuk lakukan himpunan tapi polis tak benarkan,” jelas Tian Chua di hadapan lebih 1,000 penyokong yang hadir.

Terdahulu, Anwar yang berbaju kemeja putih dan kot hitam ditemani isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuannya tiba di perkarangan mahkamah Putrajaya, kira-kira jam 9 pagi.

Mereka sempat bertemu penyokong sebelum menghadiri sesi pendengaran rayuan fitnah 2.

Ketika Anwar ingin melepasi kawasan Istana Kehakiman, berlaku sedikit kekecohan apabila penyokong cuba merempuh pagar halangan. Namun, pihak polis hanya membuka pagar tersebut bagi memberi laluan kepada Anwar dan menghalang orang awam melepasi kawasan tersebut.

Tiada ulasan: